SEJARAH

PENGENALAN

Institut Peradaban Melayu (IPM) mula beroperasi pada 1 Disember 2001 setelah diluluskan oleh Senat pada 11 Jun 2001. IPM adalah sebuah pusat penyelidikan mengenai bidang-bidang dalam peradaban Melayu.

Pada amnya, peradaban ditafsirkan sebagai satu bidang besar yang terdiri daripada bahasa, sastera, budaya dan warisan. Sebenarnya, pengertian peradaban adalah lebih luas daripada gabungan keempat-empat bidang ini. Satu hal yang tidak dapat dinafikan adalah kebudayaan merupakan unsur peradaban yang sangat penting. Oleh kerana IPM ditakrifkan sebagai sebuah institusi yang memfokuskan kepada peradaban Melayu, maka ia akan berdiri sebagai Pusat Rujukan untuk sarjana Fakulti di UPSI apabila mereka menjalankan penyelidikan.

Penubuhan Institut ini, di samping memberi penghormatan kepada Pendeta Za’ba, juga dapat mempertegaskan peri pentingnya kefahaman orang ramai, baik sarjana ataupun juga orang biasa, tentang apa yang dimaksudkan dengan Peradaban Melayu, kursusnya pengertian Melayu yang menjadi teras tumpuan pengajian dan penyelidikan, perkembangan sosiologi yang berlaku hari ini, dan usaha-usaha dalam pembinaan akhlak, etika dan sains.

Pada 2 Disember 2021, merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) Bil 19 Tahun 2021, Universiti telah bersetuju dengan struktur baharu iaitu Muzium Pendidikan Nasional (MPN) selepas penggabungan dengan Institut Peradaban Melayu (IPM) yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2022. Dengan penggabungan ini, ia dapat memperkasakan bidang peradaban melayu melalui pengajian pascasiswazah, penyelidikan,penerbitan, perundingan dan permuziuman serta menjadi pusat rujukan global dalam bidang peradaban melayu dan menjadi hub dalam penganjuran aktiviti berkaitan peradaban melayu dan permuziuman.