Institut Peradaban Melayu (dengan tertubuhnya Kursi Za’ba) berperanan dalam menganjurkan persidangan dan seminar dengan tujuan mempertemukan penyelidik dalam pelbagai bidang peradaban Melayu dari dalam dan luar negara bagi menggalakkan pertukaran idea dan maklumat dalam suasana akademik yang sihat. Pertukaran idea dan maklumat ini penting untuk didokumentasikan sebagai rujukan berkaitan peradaban bangsa yang berguna untuk generasi yang akan datang.
Perkembangan globalisasi pada hari ini sedikit sebanyak telah menyebabkan banyak bangsa di dunia, termasuk bangsa Melayu berhadapan dengan ancaman hakisan budaya sehingga generasi muda semakin hilang identiti diri dan semakin melupakan kegemilangan peradaban bangsa sendiri.
Sebaliknya, sejarah telah membuktikan peradaban Melayu pernah mencapai kegemilangan dalam pelbagai bidang, termasuklah ilmu pelayaran, teknologi perkapalan, ilmu perubatan, teknologi persejataaan dan lain-lain sehingga dikenali seantero dunia. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan berkaitan peradaban Melayu sama ada dalam bidang bahasa dan kesusasteraan, warisan dan budaya Melayu, falsafah Melayu, politik, agama dan sistem kepercayaaan, orang asal dan etnik pribumi, ekonomi, sains dan teknologi, genealogi, dan institusi raja Melayu
Oleh yang demikian, Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris bercadang menganjurkan Persidangan Antarabangsa Peradaban dan Warisan Melayu 2021 dalam usaha mengumpulkan dan mendokumentasi kajian berkaitan bidang-bidang peradaban Melayu, selaras dengan fungsinya sebagai sebuah pusat rujukan berkaitan bidang peradaban Melayu dalam konteks yang lebih luas.