Joomla TemplatesBest Web HostingBest Joomla Hosting

Seminar Peradaban Melayu 1: Kertas 6

MELAYU MINORITI DAN DIASPORA; PENGHIJRAHAN DAN JATI DIRI

Prof. Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

PENDAHULUAN

1. Rumpun Melayu sebagai kumpulan minoriti tetapi merupakan peribumi kepada negara-negara itu terdapat di Singapura, Selatan Thailand, Vietnam, Selatan Myanmar dan Taiwan (Farmosa). Di negara-negara di luar Alam Melayu mereka adalah penghijrah atau kelompok Melayu diaspora.

2. Fenomena penghijrahan ini mula berlaku pada zaman Sriwijaya antara abad ke-7 hingga abad ke-13 secara kecil-kecilan dan mungkin berkeluarga. Rumpun Melayu itu berhijrah dengan belayar ke Pulau Madagaskar di pantai timur benua Afrika. Mereka dikatakan penyumbang kepada tamadun awal di pantai timur benua Afrika dengan memperkenalkan kegiatan bercucuk tanam dan memelihara ternakan.

4. Rumpun Melayu sebagai minoriti terdapat di Pulau Hainan dan wilayah Kwantung di Selatan Negeri Cina. Mereka dipercayai adalah daripada keturunan Champa yang mendiami pesisiran pantai Semenanjung Indo-China. Sekumpulan yang agak besar keturunan Melayu Champa dari Vietnam itu, disebabkan oleh peperangan berhijrah dan menjadi penduduk tetap di negara Cambodia, dianggarkan hampir sejuta orang. Di Vietnam mereka adalah penduduk peribumi yang pernah menubuhkan kerajaan Melayu Champa yang bertahan agak lama dari abad ke-2 hingga ke pertengahan abad ke-15 Masihi. Kerajaan Champa itu tumbang setelah sekian lama berperang dengan bangsa Daiviets dari utara yang kini menjadikan wilayah itu sebagai Vietnam.

Di Segenting Kra, terdapat sekitar 100,000 pribumi Melayu tetapi perkampungan mereka termasuk ke dalam sempadan Selatan Myanmar.

5. Sebahagian besar Melayu diaspora, iaitu mereka yang berhijrah dan menjadi kelompok minoriti di negara-negara di luar Alam Melayu, melakukan penghijrahan pada zaman penjajahan di wilayah budaya Alam Melayu ini. Ini termasuklah kewujudan Melayu diaspora di Australia, Britain, Sri Lanka, Afrika Selatan, Surinam, Arab Saudi dan beberapa lagi. Tetapi penghijrahan juga berlaku pada zaman selepas penjajahan seperti kehadiran rumpun Melayu keturunan Champa di Amerika Syarikat dan Perancis serta rumpun Melayu dari wilayah Patani (Selatan Siam) dan Malaysia di Arab Saudi dan Mesir, serta rumpun Melayu Sri Lanka di Canada.

6. Di sesetengah negara seperti Australia, Arab Saudi, Britain dan Amerika Syarikat, penghijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke negara-negara tersebut berterusan hingga akhir abad ke-20 serta memasuki abad ke-21 ini. Berbeza daripada zaman penjajahan apabila sebahagian penghijrahan itu adalah kerana dipaksa, penghijrahan pada zaman pasca merdeka dari negara-negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei berlaku secara sukarela, iaitu untuk mencari pekerjaan ataupun untuk mendapatkan ilmu tetapi kemudiannya memilih untuk tinggal menetap di negara-negara berkenaan.

7. Sebagai rumusan kepada bahagian ini, kesemua kelompok Melayu diaspora yang berada di negara-negara di luar Alam Melayu seperti China, Australia, Madagaskar, Sri Lanka, Afrika Selatan, Kemboja, Mesir, Arab Saudi, Perancis, Belanda, Britain, Amerika Syarikat dan Surinam adalah juga kumpulan minoriti di negara-negara tersebut. Bagi negara-negara seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Taiwan, mereka adalah kumpulan minoriti tetapi kedudukan mereka adalah sebagai pribumi di negara-negara tersebut.

8. Untuk Pulau Madagaskar, rumpun Melayu di sana sudah dianggap sebagai pribumi kerana kehadiran mereka di pulau itu sudah begitu lama, di sekitar seribu tahun. Juga, bangsa Merina dari rumpun Melayu itu adalah bangsa yang pertama menubuhkan Kerajaan Merina di negara itu.


DIASPORA MELAYU PADA ZAMAN PENJAJAHAN PORTUGIS, BELANDA, INGGERIS DAN PERANCIS

9. Kedatangan penjajahan Portugis pada awal abad ke-16 (1509) disusuli oleh penjajah Belanda yang berjaya menguasai sebagai kepulauan Alam Melayu, yang kemudiannya diberi nama Hindia Belanda Indonesia (1600) serta mengambil alih penguasaan ke atas Melaka dari Portugis pada 1641, disusuli pula oleh kedatangan Inggeris pada suku ketiga abad ke-18 (bertapak di Pulau Pinang pada 1786) meninggalkan dua kesan yang besar kepada penduduk di Alam Melayu yang sebelum ini belum lagi terpisah kepada lima negara bangsa baru seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura.

10. Kesan pertama penjajahan adalah kewujudan dua kelompok Melayu sebagai kumpulan minoriti di tanah air mereka sendiri; iaitu di Singapura dan di Wilayah Melayu Selatan Thailand. Rumpun Melayu ini adalah peribumi di negara-negara berkenaan, iaitu Singapura dan Thailand.

11. Kesan kedua adalah penghijrahan kelompok-kelompok kecil dari Alam Melayu, khususnya dari Indonesia dan Malaysia, ke negara-negara di luar Alam Melayu.

Penjajahan Portugis

12. Portugis yang menguasai Ceylon (Sri Lanka), Melaka, dan kawasan pesisir India seperti Bandar pelabuhan Goa mulai awal abad ke-16 membuka lembaran sejarah ‘diaspora Melayu’ dengan membawa kumpulan-kumpulan kecil Melayu dari Melaka ke Ceylon sebagai hamba tawanan, pekerja kapal dan sebagai askar upahan. Namun, penguasaan Portugis ke atas Melaka walaupun lama dari segi masa (1511 – 1641 untuk selama 130 tahun) tetapi tidak berjaya meluaskan wilayah penjajahannya dan tidak begitu rancak kegiatan perdagangannya. Ini bermakna perpindahan rumpun Melayu ke luar wilayah Alam Melayu terhad dari segi bilangannya, iaitu terhad ke Ceylon sahaja.

Penjajahan Belanda

13. Dalam persaingan merebut wilayah di antara Portugis dan Belanda, kompeni Belanda ternyata lebih bersedia dengan angkatan laut dan tenaga manusia yang lebih besar. Belanda berjaya mengambil alih Ceylon daripada Portugis melalui peperangan; menguasai sebahagian wilayah kepulauan Alam Melayu yang diberi nama baru Indonesia bermaksud ‘India Yang Jauh’ atau Further India, serta mengambil alih Melaka dari Portugis dengan secara perundingan pada 1641.

14. Belanda menguasai kawasan atau wilayah kepulauan Melayu yang amat luas serta lama, melebihi 300 tahun, berbanding dengan penguasaan ke atas Melaka di Semenanjung Tanah Melayu yang agak kecil dan untuk selama 183 tahun (1641 – 1824). Pengaruh serta penguasaan Belanda ke atas apa yang kemudiannya diberi nama Indonesia adalah amat luas lagi mendalam. Ia menerima tentangan daripada penduduk peribumi yang agak hebat yang mengambil masa agak lama untuk mematahkannya. Penguasaan ke atas Semenanjung amatlah terbatas dan terhad di wilayah Melaka sahaja manakala tentangan terhadapnya juga tidak begitu sengit dari orang Melayu di Semenanjung.

15. Akibat daripada penjajahan, peperangan dan juga perdagangan itu telah membawa kepada perpindahan penduduk rumpun-Melayu ke luar Alam Melayu, seperti ke Ceylon (Sri Lanka), Afrika Selatan, Surinam dan Belanda. Sebahagian besar mereka berhijrah secara paksaan sebagai hamba yang diperdagang, pesalah dan buangan politik yang di antaranya adalah ulama dan kerabat diraja, serta golongan merdahika yang berhijrah secara sukarela sebagai pekerja atau kelasi kapal dan sebagai tentera upahan. Merekalah yang membawa agama Islam ke sana, dan Islam kekal sebagai salah satu agama yang dianuti oleh kelompok minoriti yang diiktiraf kehadiran mereka oleh kerajaan majoriti yang beragama Buddha di Sri Lanka, yang beragama Kristian di Afrika Selatan, Surinam dan Belanda.

Penjajahan Inggeris

16. Inggeris menjajah Persekutuan Tanah Melayu termasuk Singapura dan Borneo Utara sekadar 80 tahun sahaja tetapi ia meninggalkan kesan yang amat mendalam dari segi mentransformasikan ekonomi tradisional kepada ekonomi perdagangan, membina prasarana komunikasi moden, pengenalan urusan pentadbiran birokrasi, undang-undang tanah, pendidikan moden, serta pengenalan sistem politik demokrasi dan kehakiman menggantikan Sistem Kerajaan Melayu Lama. Di antara kesan yang paling besar sekali ialah menjadikan wilayah Alam Melayu ini sebagai masyarakat majmuk menerusi migrasi besar-besaran orang Cina dan India ke wilayah ini. Kesan kedua ialah menjadikan orang Melayu di Pulau Singapura, di Segenting Kra Selatan Myanmar dan di Selatan Thailand sebagai pribumi yang berstatus minoriti.

17. Namun pada zaman penjajahan Inggeris juga diaspora rumpun Melayu adalah secara kecil-kecilan seperti penghijrahan mereka ke Pulau Cocos dan Pulau Kerismas yang akhirnya membawa sebahagian mereka berhijrah ke benua Australia. Terdapat sebahagian kecil mereka yang bekerja dengan kapal perdagangan Inggeris dan akhirnya memilih untuk tinggal menetap di England seperti di Liverpool.

18. Kehadiran kapal-kapal perdagangan yang menggunakan enjin kuasa wap yang berulang-alik dari Alam Melayu ke Timur Tengah telah membolehkan orang-orang Melayu belayar ke Arab Saudi dan Mesir untuk menuntut ilmu agama Islam serta untuk menunaikan fardu haji di Makkah. Sebahagian kecil daripada mereka ini yang berasal dari Malaysia dan Selatan Thailand memilih untuk mencari pekerjaan dan tinggal menetap di sana sebagai kelompok Melayu diaspora. Fenomena ini berlanjutan sehingga selepas zaman penjajahan.

Penjajahan Perancis dan Sepanyol

19. Penjajahan Perancis di negara-negara di Semenanjung Indo-China (Vietnam, Kemboja, Laos) dan penjajahan Sepanyol ke atas negara Filipina tidak secara langsung membawa akibat berlakunya penghijrahan rumpun Melayu ke negara-negara di luar Alam Melayu tidak wujud tekanan dan juga kemudahan untuk mereka meninggalkan tanah air dan berhijrah ke Perancis atau negara-negara Eropah lainnya.

20. Tetapi tekanan untuk berhijrah berlaku selepas penjajah Perancis dan Sepanyol kembali ke nagara mereka kemudiannya disusuli oleh perang saudara kerana perebutan untuk berkuasa untuk sekian lama; di antaranya kemunculan pengaruh komunisme yang sedang meningkat dan berjuang untuk menguasai negara-negara di Semenanjung Indo-China.

21. Semasa Perang Vietnam memuncak pada awal 70-an, antara Vietnam Utara yang berfahaman komunis dengan Vietnam Selatan yang menganuti sistem liberal-demokrasi kedudukan puak minoriti Melayu Champa tersepit di tengah-tengah gelanggang. Sekumpulan kecil yang mempunyai kemampuan membayar untuk lari keluar sebagai pelarian perang berhijrah ke Perancis atau Amerika Syarikat. Majoriti mereka lari mengikut jalan darat untuk berhijrah ke Kemboja dan menjadi diaspora di sana mewujudkan beberapa buah penempatan yang diberi nama ‘kampung’.

22. Nasib rumpun Melayu Champa sama seperti pepatah Melayu ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Hegemoni komunisme yang ingin mengambil tampuk kuasa di Vietnam merebak ke Kemboja yang menyaksikan kehadiran gerila komunis Khmer Rouge yang ganas itu. Mereka akhirnya berjaya mengambil alih pemerintahan dan kekal memerintah untuk beberapa tahun. Pada waktu itu dianggarkan 750,000 atau separuh daripada 1.5 juta orang-orang Champa beragama Islam di Kemboja terkorban akibat keganasan gerila dan pemerintah Khmer Rouge.

23. Kumpulan-kumpulan kecil mereka ini berjaya melarikan diri menyeberangi sempadan Thailand dan akhirnya diberi perlindungan di Malaysia. Sebahagian lain yang mampu dan mempunyai kewangan berhijrah ke negara-negara yang memberi perlindungan seperti Perancis dan Amerika Syarikat atas nama peri kemanusiaan.

DIASPORA RUMPUN MELAYU FILIPINA, SINGAPURA DAN SELATAN THAILAND

24. Perpindahan atau migrasi rumpun Melayu Filipina secara kecil-kecilan kemungkinannya lebih banyak berlaku pada zaman pasca-penjajahan Sepanyol daripada semasa sebelum zaman penjajahan. Di antara negara-negara di Dunia Melayu, Filipina merupakan negara yang lebih mundur dari segi kemajuan dan pembangunan ekonomi dibandingkan dengan Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia.

25. Bagi mereka yang beragama Kristian di pulau-pulau bahagian utara seperti Luzon, perpindahan ke luar Alam Melayu berlaku dalam kalangan golongan yang berpendidikan tinggi dan profesional ke negara-negara Barat yang lebih maju seperti Amerika Syarikat dan Australia. Bagi penduduk di selatan Filipina yang beragama Islam, perpindahan lebih merupakan akibat tekanan keadaan politik yang tidak stabil disebabkan oleh perjuangan untuk mendapatkan kuasa autonomi dari kerajaan pusat di Manila. Mereka yang beragama Islam ini lebih banyak terdapat di Arab Saudi dan negara-negara Islam di Timur Tengah.

26. Sekumpulan lain yang tidak tergolong dalam kategori ‘diaspora’ atau bermigrasi secara kekal adalah pekerja peringkat bawahan seperti buruh, pemandu dan terutama sekali pembantu rumah. Mereka ke Hong Kong dan Arab Saudi untuk bekerja dalam sektor bawahan tetapi status mereka adalah perpindahan sementara sebagai pekerja kontrak dan bukan untuk tinggal menetap. Namun jika ada pilihan, pastinya mereka akan memohon untuk diterima sebagai pemastautin tetap atau warganegara di negara-negara yang mereka sedang bekerja di luar Filipina.

27. Pada masa-masa lalu, terdapat kelompok kecil rumpun Melayu dari Singapura yang mencari pekerjaan di Pulau Kerismas (dalam pentadbiran Australia) dan di Australia sebagai penyelam mutiara di utara Australia Barat di Bandar kecil Broome. Mereka yang bekerja di Pulau Kerismas kemudiannya berpindah ke tanah besar Australia untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang jauh lebih lumayan. Sebahagian besar mereka akhirnya memilih untuk tinggal menetap di Australia kerana jaminan kehidupan dan gaji yang lumayan.

28. Pada dekad-dekad yang terbaru, penghijrahan secara kecil-kecilan berlaku dalam kalangan yang berpendidikan tinggi dan golongan profesional. Penghijrahan ini dikatakan untuk mencari suasana serta peluang pekerjaan baru yang lebih baik dibandingkan jika mereka kekal berada di Singapura. Mereka ini bersama-sama Melayu dari Malaysia serta dari Pulau Cocos dan Pulau Kerismas mewujudkan komuniti Melayu diaspora di beberapa bandar besar dan kecil di tanah besar Australia seperti di Perth, Geraldton, South Headland, Kattaning, Melbourne, Sydney, Brisbane, Darwin dan sebagainya.

29. Rumpun Melayu keturunan Patani dari wilayah Melayu Selatan Thailand sudah berada secara kecil-kecilan di Arab Saudi khususnya di kota suci Makkah dan Madinah sejak beberapa abad yang lalu.

Tujuan asal mereka ke sana adalah untuk menunaikan fardu haji dan untuk mencari ilmu. Sebahagian kecil mereka ini kemudiannya mendapat pekerjaan terutamanya pada musim haji yang menguruskan para jemaah yang datang dari Alam Melayu. Mereka ini kemudiannya mendapat peluang untuk tinggal menetap di sana.

30. Gelombang kedua penghijrahan mereka ini ke Arab Saudi disebabkan oleh keadaan politik yang tidak stabil dan kerana penindasan oleh pemerintah Siam ke atas penduduk minoriti Melayu di 4 wilayah Selatan Thailand (Yala, Narathiwat, Patani dan Songkla).

31. Selain Melayu etnik Patani, terdapat juga sebilangan Melayu dari Malaysia yang diterima untuk tinggal menetap di Arab Saudi.

Rata-ratanya mereka ini telah mendapat pekerjaan tetap dalam pelbagai sektor awan serta di sektor swasta. Bagi mereka dan lebih-lebih lagi anak-anak mereka (generasi kedua) yang berpendidikan tinggi dan berjaya memasuki sektor pekerjaan profesional, sebahagian besar mereka ini tinggal di kota pelabuhan Jeddah atau di ibu kota Riyard.

"…relations between dominants and minorities as moving through a definite cycle, with one outcomes, the assimilation of the minority into the dominant society." (Robert B.Park).

37. Kita akan menggunakan budaya serta ciri-ciri jati diri penduduk asal di Alam Melayu ini sebagai kerangka rujukan walaupun kita memahami bahawa kaedah ini mempunyai masalahnya yang tersendiri disebabkan oleh kepelbagaian budaya masyarakat rumpun Melayu di Alam Melayu ini. Begitu juga mereka yang telah berhijrah ke luar lingkungan budaya Alam Melayu datangnya daripada wilayah-wilayah yang berbeza seperti Melaka (Malaysia), Singapura, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Kepulauan Ternate, Patani (Selatan Thailand), Kemboja, Vietnam, dan sebagainya. Yang akan cuba kita cari jawapan ialah apakah ciri-ciri utama yang digunakan apabila menganggap diri mereka sebagai orang Melayu atau sebahagian daripada rumpun Melayu.

Perbandingan Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan

PERSOALAN BUDAYA DAN JATI DIRI

32. Para sarjana dan pelajar bidang antropologi dan sosiologi sering merujuk kepada satu takrifan klasik tentang kebudayaan yang pernah diutarakan oleh Edward Bernard Taylor yang merumuskan ciri-ciri berikut sebagai konsep kebudayaan; ‘satu kesatuan yang kompleks mencakupi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, unsur-unsur moral, adat resam, serta segala kebolehan dan tabiat manusia sebagai ahli dalam sesebuah masyarakat’ (E.B. Taylor 1871).

33. Dari perspektif yang lain, perkataan budaya adalah cantuman daripada dua perkataan budi dan daya. ‘Budi’ bermaksud akal atau kebijaksanaan manakala ‘daya’ bermaksud tenaga, kekuatan atau kemampuan. Cantuman dua perkataan ini memberi erti segala yang dicipta oleh manusia menerusi pemikiran serta perbuatannya yang dimanifestasikan dalam bentuk material mahupun bukan material (Wan Hashim 1995: 218).

34. Jati diri atau identiti pula adalah ciri-ciri budaya dan latar belakang sejarah yang memperkenalkan seseorang atau satu-satu kaum atau kelompok manusia seperti etnik atau ras yang membezakan mereka daripada kelompok lain. Tanggapan orang lain terhadap sesuatu kelompok manusia atau kaum juga menyumbang kepada pembentukan jati diri sesuatu kelompok manusia atau kaum.

35. Walaupun rupa, wajah atau warna kulit tidak semestinya dijadikan sebagai unsur penting jati diri sesuatu kaum tetapi dalam konteks kajian ini, ia boleh dianggap sebagai suatu unsur yang boleh diambil kira. Ini guna untuk dibuat perbandingan persamaan atau perbezaan di antara wajah atau paras rupa Melayu diaspora yang sesetengahnya telah berada jauh dari Alam Melayu sejak 200 – 300 tahun yang lalu dan sesetengah yang lain merupakan generasi pertama atau generasi kedua yang baru berhijrah ke negara-negara lain kurang daripada 100 tahun.

36. Kertas kerja ini menggunakan pernyataan atau kerangka sebuah teori besar yang diajukan oleh Robert E. Park mengenai hubungan kumpulan minoriti dengan masyarakat domain seperti katanya:

38. Ada persamaan yang nyata ciri-ciri dua kelompok Melayu diaspora di Sri Lanka dan Afrika Selatan. Pertama, masa penghijrahan ke luar yang hampir sama, iaitu bermula pada awal kurun ke-16 apabila Portugis menguasai Melaka. Sebahagian mereka dari Melaka dibawa ke Ceylon sebagai hamba, kelasi kapal, atau pekerja sukarela yang menyertai pasukan askar upahan. Penghijrahan ke Ceylon dan Afrika Selatan meningkat dari segi bilangan apabila Belanda menguasai Melaka dan sebahagian besar wilayah kepulauan Alam Melayu. Selain hamba, pekerja sukarela dan banduan, turut sama berhijrah tetapi dengan secara paksaan ialah ulama dan kerabat diraja yang ditawan dan akhirnya dibuang negeri kerana mengetuai pasukan atau kebangkitan peribumi menentang penjajah Belanda. Bilangan mereka di Sri Lanka hari ini dalam sekitar 60,000 orang manakala di Afrika Selatan sekitar 500,000 hingga 600,000 penduduk.

39. Dari segi bentuk rupa, warna kulit atau wajah, sebahagian besar tidak lagi menyerupai bentuk rupa atau wajah rumpun-rumpun Melayu di Alam Melayu ini. Di Sri Lanka, majoriti mempunyai rupa dan wajah orang India Muslim, termasuk pakaian wanitanya yang memakai sari sebagai pakaian harian. Dalam perkahwinan, mereka mengikut adat resam Hindu apabila pihak wanita menghantar mas kahwin kepada keluarga pengantin lelaki. Bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa persuratan dan pertuturan rumpun Melayu di Afrika Selatan telah mula pupus sejak akhir abad ke-19 atau awal kurun ke-20 yang lalu. Di Sri Lanka, golongan tuanya masih bertutur dalam bahasa Melayu creole atau pidgin yang tidak mudah difahami oleh orang Melayu dari Malaysia atau Indonesia.

40. Tiga unsur penting yang meletakkan mereka sebagai orang Melayu adalah pertama, beragama Islam; kedua, mampu menyusur galur keturunan mereka yang berasal dari Alam Melayu dan ketiga; pengenalan diri (self identification) atau memperkenalkan diri mereka sebagai orang Melayu. Sebagai tambahan, mereka juga menyimpan beberapa artifak budaya serta bahan tulisan seperti kitab suci al-Quran tulisan tangan dan khat jawi yang ditulis oleh nenek moyang mereka pada kurun-kurun ke-18 atau ke-19 dahulu. Perlu diperingatkan di sini bahawa, mereka telah berada di Afrika selatan dan Sri Lanka sejak 200 hingga 300 tahun yang lalu. Ini membawa kepada penghakisan jati diri dan budaya mereka yang asal termasuk bahasa Melayu yang telah pupus, serta amalan adat resam. Yang masih kekal kukuh pegangan mereka ialah kepada agama Islam.

Perbandingan Rumpun Melayu di Australia, Arab Saudi dan Surinam

41. Sebahagian besar rumpun Melayu yang kini tinggal menetap di Australia dan Arab Saudi berhijrah ke sana pada sekitar abad ini. Di Australia, masih ramai mereka itu dari kalangan generasi pertama yang berhijrah dari Pulau Cocos atau Pulau Kerismas serta Malaysia dan Singapura. Amat jelas mereka masih bertutur dalam bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, berpegang kuat kepada agama Islam, mengamal adat resam Melayu dan berpakaian cara Melayu seperti orang-orang Melayu di Malaysia dan Indonesia.

42. Bagi generasi kedua yang dilahirkan di sana, mereka masih bertutur dalam bahasa Melayu tetapi fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan mulai menerima budaya kehidupan golongan remaja di sana seperti meminati lagu dan muzik pop dan filem cereka dari barat. Budaya popular termasuk juga cara mereka berpakaian amat mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Adalah dijangkakan bahawa kemungkinan besar bahasa Melayu akan secara perlahan-lahan terpinggir, manakala bahasa Inggeris akan menjadi bahasa utama bagi generasi ketiga dan seterusnya.

43. Keadaannya agak sama dengan budaya dan kehidupan orang-orang Melayu yang kini menetap di Arab Saudi. Bilangan mereka relatifnya lebih ramai terutama di kota suci Makkah dan di Jeddah. Kedua-dua generasi pertama dan kedua masih fasih berbahasa Melayu, tetapi lebih selesa berpakaian cara orang-orang tempatan, amalan adat resam campuran Arab dan Melayu, serta berpegang kuat kepada agama Islam. Ciri-ciri jati diri Melayu mereka ialah beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan sebahagian adat resam Melayu serta Arab (tempatan). Mereka juga fasih bertutur dalam bahasa Arab yang bakal mengambil alih dan menjadi bahasa ibunda bagi generasi ketiga dan seterusnya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian bahawa ibu bapa mereka lebih cenderung bertutur dalam bahasa Arab dengan anak-anak mereka (generasi kedua yang dilahirkan di sana).

44. Keadaannya agak sama dengan rumpun Melayu di Surinam yang sebahagian besarnya berasal dari Jawa dan Sumatera. Generasi pertama penduduknya berhijrah pada sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20; bermakna mereka sudah berada di sana sekitar 100 tahun. Namun mereka masih tetap dapat mengekalkan ciri-ciri jati diri yang demikian, malah lebih dominan daripada rumpun Melayu di Australia dan Arab Saudi. Mereka mengamalkan kehidupan berkampung sesama mereka, fasih bertutur dalam bahasa Melayu ala Indonesia; berpegang teguh kepada agama Islam serta mengamalkan adat resam yang dibawa dari Jawa dan Sumatera. Mereka juga mempunyai pasukan-pasukan kesenian tradisi seperti tarian kuda kepang dan enggau-enggau, lagu dan muzik Melayu-Indonesia, seni pencak-silat, bergendang rebana dan berkompang. Faktor jumlah dan peratus penduduk yang relatifnya tinggi iaitu 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk sebanyak 400,000 orang sahaja di Surinam. Tiadanya unsur budaya dominan seperti di Australia (budaya Eropah) dan di Arab Saudi (budaya Arab-Islam) membolehkan rumpun Melayu Surinam mengekalkan jati diri mereka sebagai penduduk diaspora (pendatang) dari rumpun Melayu.

Perbandingan Melayu Minoriti di Singapura, Selatan Thailand dan Selatan Myanmar

45. Pertukaran status kelompok Melayu menjadi minoriti di Singapura, adalah akibat secara langsung kehadiran Inggeris sebagai kuasa besar kolonial yang telah membenarkan penghijrahan orang-orang Cina ke selatan memasuki Alam Melayu secara besar-besaran mulai pertengahan abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20 yang menjadikan pulau Singapura dulunya dihuni oleh orang Melayu sahaja tetapi kini didominasi oleh kaum pendatang dari negeri Cina. Ciri-ciri asal kemelayuan pulau itu hampir tidak kelihatan lagi apabila kampung-kampung tradisi Melayu dipecah dan dimusnahkan menjadikan kawasan-kawasan enclaves itu sebagai tempat tinggal untuk semua kaum melalui pembinaan rumah-rumah pangsa. Para intelektual cerdik pandainya serta mereka yang berkemampuan sebahagian besarnya telah berpindah ke Malaysia atau ke negara-negara lain seperti Australia.

46. Peratus penduduk Melayu kini dianggarkan sekitar 15% sahaja dan mereka tidak memainkan peranan penting dalam menguruskan negara itu sejak Singapura dipisahkan dari Malaysia pada 1965 dahulu. Dalam bahasa salah seorang pengkajinya Lily Zubaidah Rahim yang kini telah berhijrah ke Australia, masyarakat Melayu di Singapura hari ini adalah masyarakat pinggiran dalam segala segi terutamanya dalam bidang kehidupan yang strategik seperti ekonomi dan pendidikan (Lily Zubaidah Rahman 2004). Namun disebabkan kedudukan mereka berada di tengah-tengah masyarakat Melayu induk di Malaysia, Brunei dan Indonesia, mereka masih berusaha dan berjaya mengekalkan jati diri yang berpaksikan agama Islam dan amalan adat resam Melayu yang mereka warisi dari nenek moyang mereka. Jika tahun-tahun 40, 50 dan 60-an dahulu, untuk selama 30 tahun atau lebih Singapura amat dikenali sebagai nadi dalam perkembangan intelektual dan kegiatan persuratan Melayu, kini saki bakinya pun sukar untuk dicari, hasil daripada usaha meminggirkan penduduk peribumi Melayu itu dengan secara terancang.

47. Sejarah rumpun Melayu Patani di utara Semenanjung atau kini dikenali sebagai Wilayah Melayu Selatan Thailand merupakan satu lagi episod sejarah rumpun bangsa Melayu yang malang. Ia adalah salah satu masyarakat Melayu berkerajaan yang paling awal di wujudkan selepas kerajaan Melayu Champa, iaitu dipercayai muncul pada kurun pertama atau kedua kurun Masehi menggunakan nama Langkasuka atau mengikut catatan Cina "Lang-Ya-Shu". Pada abad ke-15 atau awal abad ke-16 namanya bertukar menjadi Patani.

48. Bermula sekitar abad ke-13, bangsa Tai dari pinggir selatan negeri China mula berhijrah ke selatan untuk menguasai kawasan Segenting Kra hingga ke Semenanjung. Penjajahan ke atas negeri-negeri Melayu utara Semenanjung oleh bangsa Tai itu berhasil dalam abad ke-19 melalui dasar pecah dan perintah. Apabila memasuki abad ke-20, dan dengan bantuan kerajaan Inggeris, perjanjian Anglo-Siamese Treaty 1909 dimeterai yang meletakkan negeri-negeri Melayu Selatan Thailand di bawah kerajaan Thailand.

49. Untuk selama lebih 100 tahun, kerajaan Thailand menggalakkan penduduknya berhijrah ke wilayah selatan secara beramai-ramai untuk menduduki wilayah Melayu itu. Dasar asimiliasi kerajaan Thailand yang agresif mempercepatkan kehilangan jati diri bangsa Melayu yang berjumlah sekitar 3 juta orang itu. Perjuangan untuk pemisahan oleh puak radikal dan militannya sudah lama berjalan tanpa menampakkan hasil kecuali menambahkan ramai rakyatnya terkorban. Pertumpahan darah berlaku tanpa belas kasihan. Terbaru, Perdana Menteri Malaysia cuba mencetuskan idea untuk diberi autonomi pada wilayah yang sentiasa bergolak itu seperti yang diperjuangkan oleh rumpun Melayu-Islam di Selatan Filipina, tetapi disambut dingin dan amarah oleh pemimpin-pemimpin di Bangkok. Jalan untuk mendapatkan penyelesaian adalah amat sukar kecuali jika mendapat restu dan campur tangan dari Bangsa-bangsa Bersatu.

50. Sekitar 100,000 masyarakat Melayu Selatan Myanmar di Segenting Kra masih mampu hidup berkampung mengamalkan adat resam bangsa Melayu serta berpegang teguh kepada ajaran Islam. Tetapi dalam aspek kehidupan yang strategik seperti kegiatan ekonomi dan pendidikan, mereka turut terpinggir dan ketinggalan.

RUMUSAN

51. Kedudukan rumpun Melayu diaspora amatlah pelbagai. Mereka yang berhijrah sejak 200 hingga 300 tahun yang silam sudah berasimilasi dengan masyarakat dan budaya masyarakat dominan seperti di Afrika Selatan dan Sri Lanka. Namun, Islam serta susur galur sejarah penghijrahan mereka ke sana serta pengakuan diri mereka sebagai orang Melayu merupakan unsur penting untuk mereka dilabelkan sebagai orang atau keturunan Melayu.

52. Lebih awal daripada itu ialah penghijrahan rumpun Melayu ke Pulau Madagaskar sekitar 500 hingga 1000 tahun yang silam. Kelompok ini sudah berjaya membina jati diri baru yang unik serta berjaya menubuhkan kerajaan yang pertama di pulau itu yang melayakkan mereka diiktiraf sebagai peribumi Pulau Madagaskar.

53. Rumpun-pumpun Melayu yang berhijrah kurang daripada 100 tahun ke beberapa negara seperti Arab Saudi, Australia, Eropah dan Amerika serta mereka yang berhijrah ke Surinam masih berjaya mengekalkan jati diri dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian, mengamalkan adat resam Melayu, dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

54. Masyarakat Melayu minoriti di Selatan Thailand, Selatan Myanmar serta di Singapura berada di bawah dominasi budaya dan masyarakat dominan yang cuba mengasimilasikan mereka ke dalam masyarakat dominan bukan Melayu. Mereka menghadapi cabaran yang getir untuk mempertahankan atau mengekalkan jati diri sebagai rumpun bangsa Melayu.

RUJUKAN

Achmat Davids. 1980. The Mosques of Bo-Kaap, South African Institute and Islamic Research. Athlone: Cape Town.

Asmah Hj. Omar. 2008. The Malays in Australia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Husseinmiya, B.A. 1989. Orang Regiment, the Malays of the Ceylon rifle. Bangi: Penerbit UKM.

Bunce, Pauline. 1993. Kepulauan Cocos (Keeling): Masyarakat Melayu di Australia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lily Zubaidah Rahim. 2004. Dilema Singapura, peminggiran politik dan pelajaran masyarakat Melayu. ITNM.

Md. Sidin Ahmad Ishak & M. Redzuan Othman. 2000. The Malays in the middle east. Universiti of Malaya Press.

Wan Hashim Wan Teh. 1995. Interaksi Kaum Imigran dengan Bangsa Melayu dan Kesannya Terhadap Kebudayaan Melayu. Dalam Hanapi Dollah, Lokman Mohd Zen (pnyt) Kebudayaan Melayu di Ambang Abad Baru: Satu Himpunan Makalah. Bangi: Jabatan Persuratan Melayu.

Wan Hashim Wan Teh. Rumpun Melayu Minoriti dan Diaspora. Terbitan Khas RUMPUN, ATMA UKM.

Wan Hashim & A. Halim Ali. 1999.

Rumpun Melayu Australia Barat. Penerbit UKM.

Huntington, Samuel, 2008. Siapa kita? Cabaran kepada identiti nasional Amerika. ITNM

Wan Hashim & Hanapi Dollah. Melayu Cape di Afrika Selatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Comments (0)
Write comment
Your Contact Details:
Comment:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img]   
:D:angry::angry-red::evil::idea::love::x:no-comments::ooo::pirate::?::(
:sleep::););)):0
Security
Please input the anti-spam code that you can read in the image.

Terakhir dikemaskini (Rabu, 25 November 2009 07:37)

 
Statistik Laman


counter

Profile

Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengarah Institut Peradaban Melayu, 01 November sehingga kini

Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Pengarah (1 April 2011-30 Oktober 2011) & Penyandang Kursi Za'ba, (01 April 2011 sehingga kini)

Dr. Hj. Idris Radzi, Pengarah, 16 Jun 2010 - 31 Mac 2011

abdullah

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, 1 Julai 2008 - 30 April 2010.

kursi

Prof. Dr. Adnan Nawang, Penyandang Ketiga Kursi Za'ba.

Pengarah Ke-2

Prof. Datuk Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Pengarah & Penyandang Kedua Kursi Za'ba, Mac 2006 - Februari 2008.

asmah

Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar, Pengarah & Penyandang Pertama Kursi Za'ba, Disember 2001 - Ogos 2005.