Joomla TemplatesBest Web HostingBest Joomla Hosting

Seminar Peradaban Melayu 1: Kertas 8

IDENTITI SOSIAL MELAYU

Prof. Dato’ Dr. Yaacob Harun,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UPSI


PENDAHULUAN

1. Terdapat banyak penulisan dalam bentuk buku dan makalah oleh sarjana tempatan dan juga sarjana asing tentang sejarah dan polemik berkaitan dengan asal usul orang Melayu. Kertas kerja ini tidak bertujuan membincangkan sejarah asal-usul orang Melayu di rantau ini tetapi sebaliknya meninjau tentang identiti sosial Melayu (Malay social identity) bedasarkan tahap kendiri (level of self) seseorang dalam pelbagai kelompok dalaman (in-groups) serta kesedaran identiti (sense of identity) beliau dalam kelompok berkenaan. Dengan kata lain, kertas ini cuba menyingkap asas-asas pembentukan kelompok dalaman  Melayu; sejauh mana seseorang Melayu itu mengidentifikasikan dirinya dengan dengan kelompok tersebut; sejauh mana orang Melayu secara kolektif mengisi atau memenuhi keperluan dan juga tuntutan kelompok dalaman mereka; dan apakah langkah serta tindakan diambil bagi mempertahankan kelompok dalaman apabila berdepan dengan persaingan dan juga tuntutan dari pelbagai kelompok luaran (out-groups) terutamanya dalam konteks masyarakat Melayu menghadapi perubahan pesat dalam era globalisasi kini.

KONSEP IDENTITI SOSIAL

2. Identiti adalah satu konsep yang rumit dan tidak begitu jelas, namun demikian ia digunakan dalam dalam banyak bidang: politik, ekonomi, budaya dll. Dalam bidang politik, identiti lazim dikaitkan dengan negara bangsa (nation-state), kenegaraan (nationhood), nasionalisme, patriotisme, negeri (state), wilayah (desa, kota) dan aspek-aspek ethnisiti termasuk konflik etnik. Dalam bidang ekonomi, identiti dihubungkan dengan pekerjaan, kedudukan kelas sosial,  dan peluang serta gaya hidup (life chances and life styles). Dalam budaya, identiti lazim dikaitkan dengan agama, bahasa, seni dan kesenian, budaya material termasuk pakaian, makanan, perhiasan, kraf dll.

3. Mengikut Hogg dan Abrams (1988) identiti adalah konsep yang digubal oleh manusia tentang siapa diri mereka, dari jenis manusia mana mereka itu dan bagaimana mereka menghubungkan diri mereka dengan orang lain. Deng (1995) pula mengatakan identiti adalah cara bagaimana individu dan juga kelompok mentakrifkan diri mereka dan bagaimana mereka ditakrifkan oleh orang lain atas dasar bangsa, etnik, agama dan budaya. Sementara Jenkins (1996) mentakrifkan identiti sebagai cara-cara bagaimana individu dan kelompok dapat dibezakan dengan individu dan kelompok lain dalam perhubungan sosial.

4. Daripada beberapa sudut pandangan di atas dapat dirumuskan bahawa identiti mempunyai dua asas iaitu asas sosial dan asas peribadi. Asas sosial merujuk kepada satu kategori manusia atau kelompok sosial (social group) yang mempunyai sifat-sifat serta peraturan keanggotaan khusus. Asas peribadi pula merujuk kepada perasaan yang wujud dalam diri seseorang sebagai anggota sesuatu kategori atau kelompok sosial. Sifat khusus yang ada pada kategori atau kelompok sosial itu sering menjadi kebanggaan dan harga diri kepada anggota-anggotanya. Jadi, identiti itu mempunyai pengertian yang berganda (double sense) iaitu merujuk kepada sesuatu kategori atau kelompok sosial dan pada masa yang sama merujuk kepada sumber bagi kebanggaan dan juga harga diri seseorang yang menganggotai kategori atau kelompok sosial berkenaan (Fearon, 1999).

5. Teori identiti sosial yang dipelopori oleh Tajpel (1982) dan Turner (1987) bertujuan memahami asas psikologi wujudnya diskriminasi di kalangan kelompok yang berbeza. Tajpel dan Turner cuba mengenal pasti keadaan minima yang membawa anggota satu-satu kelompok memberi keutamaan kepada kelompok mereka sendiri dan mendiskriminasikan kelompok lain. Tindakan memberi keutaman kepada kelompok kita (our group) menyebabkan wujudnya diskriminasi terhadap kelompok lain, iaitu kelompok mereka (their group). Petikan berikut dapat menjelaskan dinamika kelompok dalaman dan juga kelompok luaran:

6. In-group is a social group towards which an individual feels loyalty and respect, usually due to membership in the group. This loyalty often manifests itself as an in-group bias. Commonly encountered in-groups include family members, people of the same race, culture or religion, and so on. Research demonstrates that people often privilege in-group members over out-group members even when the in-group has no actual sosial standing. …… Out-group is a social group towards which an individual feels contempt, opposition, or a desire to compete. Members of out-groups may be subject to out-group homogeneity biases, and generally people tend to privilege in-group members over out-group members in many situations.  (http://en.wikipedia.org/wiki/Ingroup)

7. Perbincangan tentang identiti sosial pada hakikatnya berkisar kepada pembentukan dan keanggotaan satu-satu kelompok dalaman (in-group) dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, budaya dll. Faktor-faktor yang menjadi asas pembentukan kelompok dalaman ini juga bertindak sebagai petanda (markers) bagi identiti kelompok (group identity). Selain itu wujudnya setiap kelompok dalaman ini adalah untuk membezakannya dengan kelompok luaran (out-group) yang wujud atas premis yang sama tetapi mempunyai keanggotaan yang berbeza.

8. Pada dasarnya, seseorang itu menjadi anggota kelompok sosial yang berbagai-bagai secara serentak, dengan demikian beliau mempunyai pelbagai identiti yang bertindan-tindeh (multiple and overlapping identities). Konteks sosial yang berbeza mendorongkan seseorang itu berfikir, merasai dan bertindak pada tahap di mana diri (level of self) beliau berada, sama ada pada tahap peribadi, pada tahap keluarga, pada tahap kelompok (dalam bidang ekonomi, politik, agama, etnik dll) atau pun pada tahap yang tertinggi iaitu tahap negara (nation).


IDENTITI SOSIAL MELAYU

9. Perbincangan tentang identiti sosial Melayu boleh dibuat berdasarkan konteks sosial yang mendorong seseorang Melayu itu berfikir, merasai dan bertindak pada tahap diri (level of self) beliau berada dalam pelbagai kelompok sosial yang setiap satunya pula mempunyai dinamika dalaman (internal dynamics) tersendiri. Ini kerana kelompok-kelompok tersebut dibentuk oleh faktor-faktor yang berbeza walaupun terdapat perkaitan, dan ada yang bersifat saling melengkapi antara satu sama lain. Sebelum perbincangan mendalam tentang identiti sosial Melayu perlu dijelaskan konsep Melayu itu terlebih dahulu.

10. Mengikut Anthony Reid (2004), konsep Melayu itu telah wujud dan digunakan sejak beribu tahun dahulu. Misalnya  dari sumber Mesir (perkataan Melayu-Kulon oleh Ptolemy pada abad kedua), dari sumber China (perkataan Malayu oleh Yijing pada abad ketujuh), dari sumber Arab (perkataan Malai oleh Edrisi pada abad 12), dan dari sumber Barat (perkataan Malayur oleh Marco Polo pada abad ke tiga belas), dll. Sarjana Jerman bernama Johann Friedrich Blumenbach mengatakan bangsa Melayu (Malay race) sebagai satu sub-kategori daripada campuran ras berkulit hitam (ras Ethiopia) dan ras berkulit kuning (ras Mongololoid). Bangsa Melayu ini dikatakan mempunyai sifat-sifat berikut:
“brown color, from olive and a clear mahogany to the darkest clove or chestnut brown…..hair black, soft, curly, thick and plentiful; head moderately narrowed; forehead slightly swelling; nose full, rather wide….; end thick; mouth large; upper jaw somewhat prominent with the parts of the face when seen in profile, sufficiently prominent and distinct from each other” (Johann Friedrich Blumenbach (terj. Thomas Bendyshe, 2006 c.f:     http://en.wikipedia. org/wiki/Malay_race)

11. Di kepulauan Pasifik terdapat tiga kategori penduduk, iaitu Polinesia, Malenesia dan Mikronesia. Kelompok yang paling hampir dengan keturunan Melayu adalah kelompok Polenesia (Wan Hashim Wan Teh, 1991). Kelompok keturunan Melayu ini bertebaran di Dunia Melayu yang merangkumi: “...the Malay cultural and linguistic sphere of influence, covering the archipelago of modern-day Indonesia, Malaysia, Singapore, the southernmost part of Thailand, the Philippines, Brunei, East Timor and occasionally New Guinea” ( http://en.wiktionary.org/wiki/Malay_World)

12. Ditinjau dari segi dinamika kelompok (group dynamics) didapati tidak wujud kesedaran kolektif di kalangan kelompok keturunan Melayu ini untuk mengorganisikan diri mereka dari segi politik, ekonomi, sosial atau pun budaya (lihat nota hujung 1). Apa yang mungkin wujud di kalangan kelompok keturunan Melayu ini ialah kesedaran tentang persamaan sifat-sifat fizikal mereka, itu pun jika mereka berada di luar wilayah Dunia Melayu.   Keadaan hidup yang terpisah di wilayah tertentu dalam negara bangsa yang berbeza menyebabkan mereka tidak dapat membentuk satu kelompok dalaman yang jitu, dan demikian tidak dapat berkongsi serta mendokong bersama mana-mana aspek kehidupan walaupun terdapat persamaan-persamaan tertentu dari segi budaya di kalangan mereka. Bagi yang tinggal berdekatan pun jarang berhubung dengan kelompok lain kerana dibatasi oleh perbezaan sub-budaya termasuk agama, adat resam dan dialek pertuturan.

13. Etnik Melayu sebagai satu subkelompok keturunan Melayu  lebih khusus merujuk kepada penduduk berbahasa Melayu di Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Selatan Thailand, Sumatra, Indonesia terutama di Medan, Riau, Jambi, Lampong dan beberapa daerah lain di persisiran selat Melaka. Di Malaysia penduduk serumpun lain seperti Jawa, Minang, Banjar, Mandailing, Aceh, dll yang berhijrah dari negara asal iaitu Indonesia juga mengenali diri mereka sebagai orang Melayu.  Namun demikian, ada di kalangan kelompok ini (terutama generasi migran yang pertama) yang masih mengidentifikasikan diri mereka sebagai orang Jawa, orang Banjar, orang Minang dll dan masih bertutur sesama mereka dalam bahasa asal. Joel Kahn yang mengkategorikan kelompok ini sebagai ‘other Malays’ menegaskan, ‘while most spoke some version of Malay as a lingua franca, many spoke something else as their first language – Javanese, Minangkabau, Mandailing, Banjar, Bugis….’ (Kahn, 2006:xxi).

14. Berbalik kepada persoalan ‘in-group’ vs ‘out-group’ sebagai aspek utama dalam teori identiti sosial, di dapati dinamika dalaman dan kesedaran identiti satu-satu kelompok sosial termasuk kelompok etnik akan timbul apabila anggota kelompok itu menjalinkan perhubungan dengan orang lain yang dianggap berbeza (Andaya, 2008). Kesedaran identiti ini juga menyebabkan mereka akan bersatu dan mengambil tindakan bersifat kolektif jika kelompok mereka menghadapi tekanan atau ancaman dari kelompok luaran. Tanpa dipaksa anggota kelompok dalaman tertarik (drawn together) secara spontan mengorganisasikan diri mereka, malah mengambil tindakan agresif menjaga kepentingan serta hak mereka agar tidak digugati oleh orang lain. Kesedaran identiti yang tinggi terhadap kelompok dalaman berlaku apabila anggotanya sanggup borkorban tenaga, malah menyabung nyawa mempertahankan keutuhan kelompok mereka. Tindakan kolektif sedemikian dapat dikesan pada pelbagai tahap kendiri (level of self) seseorang itu berada, terutama pada tahap kelompok dalaman yang kecil seperti keluarga dan komuniti tempatan. Bagi kelompok dalaman yang lebih besar, kesedaran identiti akan timbul apabila kelompok tersebut menghadapi tekanan serta ancaman genting yang mungkin membawa kepada keruntuhan dan mala petaka kepada seluruh anggotanya jika keadaannya dibiarkan begitu sahaja tanpa mengambil langkah serta tindakan tertentu secara kolektif bagi membendungnya. Sehubung dengan perkara ini Hassan Ahmad (2008) mengatakan ‘apabila sesuatu bangsa merasakan bahawa identiti bangsanya tercabar oleh keadaan yang boleh menyebabkan hak dan kepentingan mereka tergugat atau musnah, maka mereka akan mulai membentuk semangat bangsa itu sebagai dorongan untuk bersatu padu bagi ‘memperjuangkan’ dan mempertahankan hak dan kepentingan bangsa mereka yang dianggap sedang terancam itu. Dalam keadaan biasa, kesedaran ini mungkin tidak timbul, namun kesedaran itu tetap ada secara ‘primordial’ atau wujud dalam bentuk ‘terpendam’ (dalam jiwa sesuatu bangsa), tidak disedari’.

KESEDARAN IDENTITI ETNIK MELAYU

15. Tiga faktor utama yang menjadi pengikat etnik Melayu khususnya di Malaysia dan Brunei Darusslam adalah bahasa Melayu, adat istiadaat Melayu dan agama Islam (Perkara 160, Perlembagaan Malaysia). Perkara-perkara lain yang juga menjadi petanda (markers) identiti sosial Melayu adalah negeri-negeri Melayu (Malay states), Raja-Raja Melayu, dan hak istimewa Melayu. Bagi etnik Melayu di Malaysia, kesedaran kelompok bagi menjaga serta mempertahankan petanda-petanda identiti tersebut dapat dilihat dalam berbagai tindakan kolektif yang diambil bagi menghadapi serta mengatasi beberapa ancaman dari dalam dan lebih-lebih lagi dari luar. Berikut diperturunkan beberapa peristiwa penting yang menyebabkan orang Melayu bertindak bagi menghadapi ancaman dari pihak-pihak tertentu ditinjau dari sudut kesedaran etnik, kesedaran agama dan kesedaran budaya terutamanya bahasa.

Kesedaran Etnik

16. Pada tahun 1945-46 misalnya orang Melayu dari seluruh pelusuk tanah air (Tanah Melayu) bangun dan bersatu untuk menentang gagasan Malayan Union anjuran penjajah Inggeris (lihat nota hujung 2). Demonstasi besar-besaran oleh orang Melayu dan bantahan dari akbar-akbar berbahasa Melayu adalah manifestasi konkrit tindakan kolektif orang Melayu bagi memperjuangkan serta mempertahankan hak keMelayuan mereka yang cuba dihapuskan oleh penjajah (lihat nota hujung 3). Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946 adalah lanjutan daripada rentetan peristiwa orang Melayu menentang gagasan Malayan Union berkenaan.

17. Lanjutan daripada itu perjuangan untuk mendapat kemerdekaan adalah juga berlandaskan semangat kebangsaan Melayu untuk mempastikan segala-segala yang terkandung dalam konsep Melayu itu tidak diganggu, malah perlu disi, dimantap serta diperkukuhkan kedudukannya. Setelah negara mencapai kemerdekaan, konsep Melayu dan keMelayuan diberi takrifan yang jelas seperti terkandung dalam Artikel 160, Perlembagaan Malaysia, dan takrifan inilah digunakan oleh pemimpin Melayu (UMNO) untuk mengisi kerangka perjuangan mereka bagi mendaulatkan bangsa Melayu dan ketuanan Melayu di Tanah Melayu dan kini di Malaysia.

18. Perkembangan selanjutnya menunjukkan bahawa orang Melayu sekali lagi diancam, kali ini dengan begitu hebat hingga  berlakunya peristiwa berdarah pada tahun 1969 (lihat nota hujung 4). Ini ekoran daripada wujudnya kesedaran kelompok yang tinggi apabila orang Melayu secara kolektif merasai diri dan kedudukan mereka  begitu dihina dan tercabar di tanah air mereka sendiri. Kesedaran identiti etnik yang dimanifestasikan melalui peristiwa pahit ini adalah pada peringkat optima yang membawa implikasi negatif hingga menggugat kestabilan negara.

19. Menyedari hakikat bahawa perpaduan nasional bukan sahaja bersandarkan kepada masing-masing kaum di Malaysia perlu mengelak daripada menyemarakkan api perkauman tetapi lebih penting bersandarkan kepada perkongsian kekayaan ekonomi kerana peristiwa di atas berlaku di bandar di mana kekayaan ekonomi itu diperolehi, maka Dasar Ekonomi baru (DEB) dilancarkan pada tahun 1970.  Dari segi orang Melayu, pada asasnya DEB bertujuan untuk mendaulat dan memperkukuhkan Melayu dan keMelayuan, dan juga untuk menjaminkan yang Melayu, kedudukan Melayu serta ketuanan Melayu di negara ini tidak lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Namun demikian, selepas DEB dilancarkan, Melayu telah dirangkumkan dalam konsep bumiputera. Ini adalah untuk mengambil kira penduduk pribumi lain di negara ini (terutamnya di Sabah dan Sarawak) yang pada hakikatnya menghadapi nasib yang sama serta yang menempah masa depan (destiny) yang sama seperti orang Melayu.

Kesedaran Agama

20. Faktor agama Islam yang menjadi salah satu faktor utama pengtakrif konsep Melayu di Malaysia juga tidak kurang memperlihatkan kesannya ke atas kesedaran kelompok. Virginia Matheson Hooker (2004) mengatakan di Malaysia, Islam dan prinsip-prinsip keIslaman telah diterjemahkan bagi mengisi usaha untuk mempertingkatkan kemajuan sosio-ekonomi Melayu, dan juga untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Selain memenuhi keperluan kerohanian bagi orang Melayu, Islam juga dikatakan bertindak sebagai wadah memenuhi dua keperluan lain, iaitu keperluan sosial, khususnya untuk mengawal dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu, dan keperluan sivil, umumnya untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

21. Para pemimpin Melayu sering melaungkan kepada orang Melayu supaya merealisasikan ajaran Islam yang sebenar bagi membina sikap dan nilai selaras dengan tuntutan kemajuan. Mahathir Mohamad (1976) dalam bukunya Menghadapi Cabaran (The Challenge) menegaskan bahawa salah-tafsiran orang Melayu terhadap ajaran Islam sebenar menyebabkan mereka berada dalam keadaan keliru. Ini satu cabaran besar yang perlu dihadapi. Bagi Mahathir, masa depan dan survival orang Melayu terletak kepada diri mereka sendiri. Untuk itu, mereka perlu mengamalkan atau menghayati nilai-nilai baik, dan nilai-nilai baik itu semuanya terdapat dalam Islam. Dalam bukunya The Asian Renaissance, Anwar Ibrahim (1996) juga mengatakan walaupun orang-orang Asia (termasuk orang Melayu) amat berbangga dengan agama mereka, tetapi jika mereka gagal menghayati ajaran agama tersebut, maka wujud pelbagai gejala negatif dalam kehidupan masyarakat seperti rasuah dan penyelewengan. Banyak perangkaan menunjukkan bahawa orang Melayu paling banyak terlibat dalam kegiatan anti-sosial dan maksiat seperti dadah, rasuah, lepak, sumbang muhrim, dera, bohsia, bohjan, AID, HIV dll. Mengenai perkara ini, Anwar disebut sebagai berkata ‘walaupun orang Melayu diajar dan dilatih dalam ilmu agama, baik di rumah atau di sekolah berbanding dengan kaum lain, tetapi pelajaran agama yang mereka terima itu tidak berkesan sebab sikap mereka yang enggan mengamalkan ajaran tersebut dalam kehidupan seharian’.

22. Penubuhan pelbagai institusi dan organisasi bagi menjaga kepentingan agama Islam seperti Institut Kefahaman Islam (IKIM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Istitut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Institut Islam Hadhari, Bank Islam, Syarikat Takaful Islam dll secara spesifik menunjukkan bahawa kepimpinan Melayu telah mengambil langkah-langkah secara sedar bagi mempertingkatkan Syiar Islam di Malaysia. Kini Malaysia telah dianggap sebagai sebuah negara Islam yang berjaya dan menjadi contoh serta ikutan negara-negara Islam lain di dunia. Seperti kata Chowdhury, ’Malaysia’s Islamization process has become an attractive model and was widely acknowledged and endorsed by respected scholars of Islam including Hossein Nasr, Ismail Farouki, Fazlur Rahman, John Esposito, and also by men of religion like Sheikh Muhammad al-Ghazali, yusuf al-Qaradhawi, and even the Grand Mufti of Al-Azhar, Egypt. Malaysia has even been regarded as an ideal Muslim country worhy of emulation’ (Chowdhury,1993, c.f. Ahmad Hussein, 1998).

23. Dari segi kesedaran identiti kelompok, orang Melayu pada umumnya amat sensitif terhadap agama mereka dan menentang tindakan pihak-pihak tertentu yang dianggap menjejaskan imej keIslaman (lihat nota hujung 5). Terdapat juga tindakan yang diambil oleh sebahagian orang Melayu memperjuangkan serta mempertahankan fahaman mereka terhadap Islam secara militan seperti dalam peristiwa Mamali di Kedah pada tahun 1985 (lihat nota hujung 6) dan peristiwa rompakan senjata di kem tentera oleh kumpulan Al-Maunah di Sauk Perak pada tahun 2000.

24. Islam di Malaysia sebenarnya berdepan dengan banyak cabaran bersifat dalaman, khususnya cabaran dari kalangan umat Islam sendiri yang sering bertelagahan atas landasan perbezaan pendekatan mempertingkatkan syiar Islam di negara ini. Dari segi politik misalnya, pendekatan yang diambil oleh UMNO bagi mengisi kerangka keIslaman di kalangan penganutnya adalah berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang menganggap perjuangan mereka mewujudkan negara Islam di negara ini sebagai satu jihad (lihat nota hujung 7). Bagi UMNO, Islam tidak perlu dipolitikkan dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan budaya di Malaysia. dan konsep negara Islam (Islamic State) yang diperjuangkan oleh PAS telah pun wujud di negara ini, dan diakui di peringkat antarabangsa seperti terjelas dalam petikan oleh Chowdhury (1993) di atas.

25. Selain cabaran politik, Islam di Malaysia juga berdepan dengan cabaran pentadbiran. Di setiap negeri wujud Jabatan Agama Islam yang diberi kuasa mentadbirkan hal ehwal Islam di negeri masing-masing. Jabatan Agama Negeri juga sentiasa memantau sebarang tindakan atau salah laku agama termasuk amalan dan penyebaran ajaran sesat, kes murtad, kegiatan tidak bermoral, salah laku seksual, perjudian, perzinaan, dll. Jabatan Agama Negeri diberi kuasa menangkap serta menghukum orang Islam yang melanggar prinsip-prinsip asas agama berkenaan.

26. Yang menjadi persoalan di sini bukanlah kewibawaan setiap Jabatan Agama Negeri tersebut, tetapi adalah keselarasan pentadbiran agama Islam di seluruh negara. Hingga kini keselarasan itu tidak wujud, misalnya dalam isu-isu tentang keluarga, perkahwinan (lihat nota hujung 8), perceraian, ceramah agama (lihat nota hujung 9), kegiatan dakwah dll. Tanpa wujudnya keselarasan pentadbiran agama ini menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam terutama sekali generasi muda yang tidak mendapat pendidikan agama yang mendalam. Akibatnya adalah pada tanggapan umum Islam di Malaysia mempunyai banyak jenamanya (brand) dan setiap penganutnya  menghayati Islam mengikut jenama tertentu bergantung kepada di mana tahap kendiri (level of self) beliau berada sama ada dalam kelompok politik UMNO, dalam kelompok politik PAS atau pun dalam negeri beliau bermastautin.

Kesedaran Budaya

27. Berbalik kepada takrifan mengikut Perkara 160 Perlembagaan Malaysia, Melayu itu adalah seseorang yang bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Seperti dinyatakan pada mulanya tiga perkara ini adalah petanda utama (key markers) identiti sosial Melayu yang menjadi asas generic pembentukan kelompok dalaman Melayu.  Pada hakikatnya tiga petanda utama ini juga menjadi tonggak budaya Melayu terutama bahasa Melayu dan agama Islam.

28. Bahasa Melayu sebagai lingua franca utama di Dunia Melayu dengan jumlah penuturnya lebih daripada 300 juta menjadi salah satu bahasa terbesar di dunia. Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan di tiga buah negara bangsa di rantau ini iaitu Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam. Kedudukannya sebagai bahasa perhubungan, bahasa perdagangan, dan bahasa ilmu sejak berabad lamanya tidak dapat dipertikaikan.

29. Perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu bermula sejak tertubuhnya Pakatan Belajar- Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) di Johor Bahru pada tahun 1888 hingga tertubuhnya Balai Pustaka pada bulan Jun 1956 yang kemudiannya ditukarkan namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada bulan September 1956. Seperti mana-mana aspek budaya lain, sebarang ancaman terhadap kewibawaan bahasa Melayu akan disusuli dengan tentangan dan tindakan kolektif penuturnya bagi menepis, malah melemahkan ancaman tersebut. Antaranya termasuk peristiwa-peristiwa berikut:

“Pada 5 Oktober 1970 Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) mencabar tindakan pensyarah yang tidak mahu mengajar dalam bahasa Melayu .... PBMUM mengadakan sudut pidato dan berarak yang disertai 3000 pelajar. Mereka menyerbu Fakulti Sains, Sastera, Pendidikan dan Pusat Pentadbiran dengan mengecat kenyataan berbahasa Inggeris termasuk perkataan ‘UMSU’ yang terdapat pada bas PMUM dan no parking dengan warna merah dan hitam. Pelajar juga membakar surat berbahasa Inggeris” (Sumber: Mohamad Ridhuan Alias, Gerakan Mahasiswa di Universiti Malaya 1970–1986: <http://www.scribd.com/doc/11261491/ Gerakan-Mahasiswa-DiUniver-siti-Malaya 1970>)

“1967 - Perbahasan Rang Undang-undang Bahasa di Parlimen yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa kaum lain telah menimbulkan reaksi bantahan sehingga mencetuskan peristiwa ber­sejarah men­gusung Keranda Fasal 152 yang ditunjangi oleh Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK). BBBK mendesak kerajaan melaksanakan Fasal 152 yang ter­maktub dalam Perlembagaan. Dasar Pelajaran Kebangsaan pula dilak­sanakan secara tegas dengan menu­karkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Isu bahasa tidak lagi boleh dipermainkan atau dipersoalkan kedudukannya apabila Akta Hasutan disemak pada tahun 1969” (Sumber:  Normala Mohamad Yusof (susunan), Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu : Daripada Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) Hingga Penubuhan DBP:
www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp89jun6.pdf)

30. Perkembangan mutakhir tentang usaha memperkasa serta mendaulatkan bahasa Melayu adalah mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris (PPSMI) kepada bahasa Melayu. Selepas dasar itu dilaksanakan pada tahun 2002, banyak kesan negatif timbul khususnya dari segi pencapaian pelajar dan kekurangan prasarana (lihat nota hujung 10). PPSMI ditentang dalam semua seminar bahasa, sastera dan kebudayaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Gapena, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia dan pelbagai pertubuhan bahasa dan sastera di Malaysia. PPSMI ternyata memecah belahkan orang Melayu (<http://ms.wikipedia.org/wiki/ PPSMI_dimansuhkan>). Atas desakan dan tentangan yang kuat dari semua pihak termasuk dari orang bukan-Melayu, akhirnya pihak Kerajaan mengambil keputusan memansuhkan PPSMI mulai tahun 2012.

31. Selain bahasa, adat resam Melayu yang menjadi pentakrif Melayu juga menghadapi cabaran dan ancaman terutamanya dalam era globalisasi kini. Generasi muda yang kurang diterapkan dengan adat dan budaya Melayu dalam proses sosialisai di peringkat keluarga disertai dengan perkembangan dan pengaruh budaya popular bersifat global menyebabkan orang Melayu kian hilang identiti budaya mereka.  Mohd Ridhuan Tee Abdullah dipetik sebagai berkata, “melalui kajian yang dibuat, apa yang berlaku ke atas remaja-remaja kita hari ini kerana mereka tidak memiliki hala tuju diri atau matlamat hidup. Mereka tercari-cari identiti yang mana satu hala yang hendak diikuti. Mereka tiada matlamat yang hendak dicapai. Nilai-nilai pegangan asas iaitu agama (kalau ianya Melayu- Islam) sudah tidak lagi sebati dalam hidup mereka. Mereka sedang mencari sesuatu. Dalam pencarian itu, yang tidak baik itulah yang menjadi pilihan mereka. Dengan sebab itu kita lihat bermacam-macam perkara yang merosakkan berlaku. Ada yang terjebak dengan Black Metal, seks bebas, penyalahgunaan dadah, rogol dan sebagainya”(http://artacuakep.word-press. com/2009 /07/07/jati-diri-remaja-kita-telah-mati/)

32. Kesedaran identiti dari segi budaya ini hanya terdapat di kalangan sebahagian orang Melayu (generasi tua) yang tidak begitu terpengaruh dengan perkembangan budaya arus perdana. Oleh sebab itu tidak banyak tindakan yang diambil oleh pihak-pihak berwajib kecuali di beberapa negeri dan pertubuhan untuk membendung secara serius perkembangan unsur-unsur budaya luar yang tidak mencerminkan imej Islam dan Melayu (lihat nota hujung 11).


KESIMPULAN

33. Budaya adalah sesuatu yang kreatif lagi dinamik dan sentiasa mengalami perubahan selaras dengan perubahan masa dan perkembangan masyarakat. Identiti sosial juga mengalami perubahan yang sama.  Petanda-petanda identiti yang menjadi pegangan atau dokongan kuat pada masa lalu kebanyakannya telah luntur dan terhakis. Tiga faktor utama yang menjadi tonggak identiti sosial Melayu yang dibincangkan di atas banyak menhadapi ujian dan cabaran. Kesedaran identiti yang membawa kepada tindakan bagi mempertahankan petanda-petanda utama yang disebutkan itu tidak lagi kental seperti dulu. Keadaan menjadi genting dalam konteks masyarakat Melayu mengalami perubahan pesat kini. Pemodenan, kekayaan ekonomi, perubahan teknologi dan proses globalisasi telah membawa transformasi fizikal dan budaya pada semua masyarakat di dunia termasuk masyarakat Melayu. Sebahagian besar daripada orang Melayu kini telah hilang ‘sense of identity’ mereka dan begitu terpengaruh dengan perkembangan global dalam semua bidang kehidupan termasuk ketidakpekaan mereka menyedari, mendokong serta mempertahankan keutuhan tiga petanda identiti sosial Melayu yang dibincangkan di atas.


RUJUKAN

Andaya, L. (2008). Leaves of the Same Tree. Honolulu: University of Hawai’i Press.

Anwar Ibrahim (1996). The Asian Renaissance. Singapore/Kuala Lumpur: Times Books International.

Bernard, T.P. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries. Singapore: Singapore University Press.

Deng, Francis M. (1995). War of Visions: Conflict of Identities in the Sudan. Washington, DC: Brookings.

Fearon, J.D. (1999). What is Identity (As We Now Use the Word). Stanford: Stanford University.

Jenkins, R. (1996). Social Identity. London: Routledge.

Kahn, J. (2006). Other Malays: Nationalism and Cosmopolitanism in the Modern Malay World. Asian Studies Association of Australia and Singapore University Press/Nias Press.

Hassan Ahmad (2008). “Nasionalisme dan Perjuangan Bahasa”. Abdullah Hassan (Penyusun). Mengapa Kami Bantah Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemah Malaysia.

Hogg, Michael and Dominic Abrams (1988). Social Identifications: A Social Psychology of Intergroup Relations and Group Processes. London: Routledge.

Hooker, V.M. (2004). “Reconfiguring Malay and Islam in Contemporary Malaysia”.

Bernard, T.P. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries. Singapore: Singapore University Press.

Mahathir Mohamad (1976). Menghadapi Cabaran. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Antara.

Milner, A. (2008). The Malays. Wiley-Blackwell.

Tajfel, Henri, ed. (1982). Social Identity and Intergroup Relations. Cambridge, UK: Cambridge University Press.

Turner, John C. (1987). Rediscovering the Social Group: A Self-categorization Theory. Oxford, UK: Blackwell.

Reid, A. (2004). “Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities”. Bernard, T.P. Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries. Singapore: Singapore University Press.

S. Ahmad Hussein (1998). Muslim Politics in Malaysia: Origin and Evolution of Competing Traditions in Malay Islam. Braamfontein: The Foundation for Global Dialogue.

Wan Hashim Wan Teh (1991). “Dunia Melayu dan Tersebar Luasnya Rumpun Bangsa Melayu”. Mohd Yusof Hassan (ed). Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Laman Web seperti tertera dalam teks dan nota hujung.

­
NOTA HUJUNG

1. Walaupun Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada tahun 1938 bertujuan menyatukan semua orang Melayu bagi memperjuangkan hak mereka dan juga gagasan Panji Melayu Raya untuk menyatukan Tanah Melayu dan Indonesia, objektifnya  tidak berhasil dan dipatahkan oleh penjajah Inggeris dengan penangkapan Ibrahim Yaacob iaitu pengasasnya pada tahun 1941.
2. Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing dan terus memerintah bersama dengan sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor tersebut, tetapi kedaulatan dipindah kepada Kerajaan British. Baginda-baginda akan mengekalkan kuasa hanya dalam hal-hal yang berkenaan dengan agama Islam sahaja. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewaganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi ras dan kepercayaan. (Portal 51 Tahun Merdeka: http://www.kbistari.uum.edu.my /merdeka/content knowledgebase/kbview.asp?kbid=31)
3. Demonstrasi bantahan besar-besaran telah diadakan semasa Sir Harold MacMichael mengunjungi sultan-sultan Melayu untuk mendapatkan persetujuan. Demonstrasi yang sama di adakan oleh Persatuan Melayu Kelantan pada 15 Disember 1945, Persatuan Melayu Kedah pada 1 Feb 1946, dan demonstrasi orang Melayu Johor pada 10 Februari 2006. Turut merakamkan bantahan adalah Akbar Utusan Malaya di Singapura, Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan Warta Malaya di Pulau Pinang. (http://www.scribd.com/ doc/7784892/an-Terhadap-Gagasan-Mu)

4. ’Terjadinya Perisitwa 13 Mei 1969 adalah rententan dari provokasi pihak pembangkang yang dimulakan sejak malam 10 Mei 1969 untuk meraikan kemenangan mereka. Penyokong-penyokong Parti DAP telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Ia berlarutan hingga ke 13 Mei 1969, bila mana sekumpulan orang melayu yang sudah hilang sabar mengambil tindakan balas. .... Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan .... UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang. Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu arahan daripada Dato' Harun Idris untuk mengamuk’. (<http://ms.wikipedia.org/wiki/ Peristiwa_13_Mei>)

5. Ummat Islam sangat pantang kalau agama suci mereka disentuh atau dipermain-mainkan. Terkenang kembali kisah Natrah (Maria Huberdina Hertogh) yang mana ummat Islam Tanah Melayu mengadakan rapat umum di Singapura dihadiri lebih 2,000 orang, yang mengakibatkan seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera parah bagi mempertahankan akidah seorang muslimah. (http://cyberpoyo. blogspot.com/2006/11/tragedi-natrah-dulu-isteri-mansor-kini.html)
6. Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Peristiwa_Memali_1985)
7. Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'. (<http://ms.wikipedia.org/wiki/Amanat_Haji_Hadi# Sedutan_ ucapan>)
8. Kerajaan negeri Perlis tidak bersetuju mengenakan syarat ketat terhadap suami yang mahu berpoligami, termasuk membahagikan dulu harta sepencarian dengan isteri pertama seperti dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005. Kerajaan negeri itu, yang sejak dua tahun lalu membenarkan suami berkahwin lagi tanpa perlu mendapat kebenaran isteri pertama, berpendapat peraturan sedia ada serta panduan dalam al-Quran sudah memadai dan lengkap. (http://perkawinan.blogspot.com/2005/09/pindaan-undang-undang-poligami-perlis.html)  ...... Tatacara permohonan poligami di Negeri Selangor diterangkan dalam subseksyen 23 (1) hingga (10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Menurut subseksyen 23 (5) enakmen itu: "Apabila menerima permohonan (suami untuk berpoligami) itu, mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar." (http://serikasih.blogspot.com/2009/03/isteri-berhak-jawab-permoho-nan-suami.html)
9. Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam (2-11-2009) kerana disyaki mengajar tanpa tauliah. Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut. Apabila pasukan Jais memasuki premis berkenaan sekumpulan lelaki cuba menghalang anggota penguat kuasa menahannya. (http://inertz.com/2009/11/bekas-mufti-perlis-ditahan/)
10. Tahap pendidikan Malaysia menjunam ke ranking ke-20 berbanding 10 sebelum ini bagi bidang Matematik dan ranking ke-21 berbanding 20 dalam Sains; hanya 8 % guru yakin untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sekolah berhadapan masalah kekurangan guru yang fasih bahasa Inggeris untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran itu; hanya 58 % masa yang diperuntukkan untuk PPSMI telah digunakan oleh guru dalam mata pelajaran sains dan matematik. Selebihnya guru tetap / terpaksa menggunakan bahasa Melayu. Guru masih berbahasa Melayu kerana murid sukar memahami dan tidak lagi berminat. Guru sendiri tidak fasih memberi penerangan dalam bahasa Inggeris. Komputer dan LCD hanya menyusahkan dan sebenarnya tidak memudahkan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Guru sains dan matematik cukup bimbang prestasi pelajar akan lebih merudum kerana gagal memahami apa yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. (<http://ms.wikipedia.org/wiki/PPSMI_ dimansuhkan>)
11. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa rancangan membawa penyanyi Barat, Beyonce, bagi menjayakan konsert 'I am World Tour live in Malaysia' pada 25 Oktober ini, dibatalkan kerana dikhuatiri membawa kesan tidak baik dan bertentangan dengan budaya masyarakat Timur (Berita Harian 29/9/2009)

 

Comments (0)
Write comment
Your Contact Details:
Comment:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img]   
:D:angry::angry-red::evil::idea::love::x:no-comments::ooo::pirate::?::(
:sleep::););)):0
Security
Please input the anti-spam code that you can read in the image.

Terakhir dikemaskini (Rabu, 25 November 2009 07:40)

 
Statistik Laman


counter

Profile

Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengarah Institut Peradaban Melayu, 01 November sehingga kini

Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Pengarah (1 April 2011-30 Oktober 2011) & Penyandang Kursi Za'ba, (01 April 2011 sehingga kini)

Dr. Hj. Idris Radzi, Pengarah, 16 Jun 2010 - 31 Mac 2011

abdullah

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, 1 Julai 2008 - 30 April 2010.

kursi

Prof. Dr. Adnan Nawang, Penyandang Ketiga Kursi Za'ba.

Pengarah Ke-2

Prof. Datuk Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Pengarah & Penyandang Kedua Kursi Za'ba, Mac 2006 - Februari 2008.

asmah

Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar, Pengarah & Penyandang Pertama Kursi Za'ba, Disember 2001 - Ogos 2005.