Joomla TemplatesBest Web HostingBest Joomla Hosting

DATUK ONN BIN JAAFAR

RETORIK PERPADUAN DAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYU

Oleh Prof. Emeritus Abu Bakar A Hamid
 
 
PEMBUKA KATA 

Telah banyak ditulis tentang Dato’ Sir Onn bin Jaafar. Selain rencana akademik dan popular dalam jurnal, majalah dan akhbar, beberapa orang ahli akademik dan penulis seperti Shaharom Husain (1985), Mohd.Tajuddin bin Haji Abdul Rahman (1987), Ramlah Adam (1992), Ahmad Boestamam (1998), Pamela Ong Siew Im (1998), Mohamed Abid (2003) Anwar Abdullah (2005) dan Ismail Adnan (ed.) (2006) telah berhasil menerbitkan buku tentang Dato’ Onn. Persatuan Sejarah Kawasan Batu Pahat pula telah menerbitkan

Onn Jaafar Melakar Sejarah Perjuangan Bangsa di Batu Pahat (2006). 

Selain itu pada 1-4 Disember 2006 Yayasan Warisan Johor bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan beberapa buah organisasi lain telah menganjurkan Persidangan Kebangsaan Mengenai Dato’ Onn. Lebih daripada 30 kertas kerja telah dibentangkan dan dibahaskan oleh ahli akademik, penulis, wartawan, tokoh politik dan orang awam dalam tempoh empat hari itu, menjangkau pelbagai aspek kehidupan dan kerjaya politik Dato’ Onn serta dampaknya dalam kehidupan masa lalu, masa kini dan masa depan tanah air. Dengan itu mungkin timbul pertanyaan apa lagi yang hendak diperkatakan tentang tokoh ini.

Tokoh ini tokoh besar dan telah memainkan peranan yang amat besar pula menyatu-padukan orang Melayu, menimbulkan kesadaran politik serta memimpin perjuangan mempertahankan serta memartabatkan hak dan kepentingan orang Melayu di negaranya sendiri. Dalam catatan pegawai kolonial Inggeris, berulang kali disebut peranan Dato’ Onn sebagai mendidik dan mendewasakan pemikiran politik orang Melayu. Dalam pada itu ada juga yang beliau lakukan dapat digolongkan kontroversial. Maka itu masih banyak lagi perkara yang boleh diperkatakan mengenai tokoh pejuang Melayu yang ulung ini dalam rangka menempatkan sumbangan beliau dalam sejarah pembinaan kesedaran dan pemikiran politik serta pembangunan pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi bermula dengan tindakan menentang Malayan Union dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Pelbagai isu telah dibangkitkan dalam Seminar mengenai Dato’ Onn Disember 2006 itu. Salah satu perkara yang menarik perhatian saya mengenai persoalan di sekitar perubahan sikap Dato’ Onn yang dikatakan ’mendadak’  daripada seorang nasionalis Melayu tulen kepada seorang nasionalis ’Malaya’ yang tidak mahu berkompromi sehingga rela meninggalkan parti politik yang diasaskannya dan dibinanya sehingga menjadi kuasa politik Melayu dan Persekutuan Tanah Melayu yang tidak ada tandingnya pada zaman itu. Malahan Dato’ Onn telah banyak berkorban untuk UMNO; apabila diminta memilih antara jawatan pemimpin UMNO atau Menteri Besar Johor, beliau memilih Yang Dipertua UMNO, walaupun jawatan ini tak bergaji dan tanpa apa-apa kemudahan.

Dalam rencana ini, saya mencuba melihat Dato’ Onn dari sudut pandang bidang yang saya sedikit sebanyak tahu dan telah berkecimpung sejak lebih dua dekad yang lalu, iaitu bidang retorik. Retorik adalah aspek yang penting dalam komunikasi, lebih-lebih lagi komunikasi politik. Adalah diharapkan daripada retorik Dato’ Onn dan tindak tanduknya bercorak politik, kita boleh memahami jalan pemikiran, sudut pandangan, pemilihan keutamaan serta gaya berkomunikasi beliau sebagai seseorang pemimpin politik. Dengan demikian kita boleh memahami punca atau sebab musabab sesuatu keputusan dan tindakan yang diambil dan dilaksanakannya.

Oleh kerana istilah retorik ini sudah amat tua dan sepanjang zaman telah mengalami banyak perubahan makna, tafsiran dan pendekatan, barangkali wajarlah saya lebih dahulu menjelaskan pengertiannya dalam konteks pebicaraan ini.

APA ITU RETORIK?

Tanggapan orang awam tentang retorik sering lebih negatif daripada positif. Apabila sesuatu ucapan atau tulisan itu lebih hebat gayanya dan kurang bernas kandungannya maka dikatakan kaya dengan retorik tetapi miskin dari segi isi. Ini tanggapan yang popular. Sebenarnya retorik bermula dari zaman tamadun Yunani kira-kira 3000 tahun yang lalu. Pada waktu itu demokrasi bukan bercorak perwakilan; maksudnya, sesiapa yang pandai berpidato dan boleh menguasai fikiran khalayaknya, maka dia mendapat ikutan dan menjadi pemimpin. Dia boleh pergi ke Kolesium dan menyuarakan pendapatnya di sana. Maka penguasaan retorik dianggap ciri utama seorang terpelajar dan berpengaruh. Tokoh filsafat Yunani tersohor, Plato dan Aristotle merupakan  peneraju ilmu ini. Aristotle (384-322 BC) telah mengangkat retorik menjadi sains terpenting dalam zamannya dan huraiannya tentang retorik masih terus diterima dan diperbincangkan oleh para sarjana. Sehingga hari ini, definisi Aristotle bahawa retorik itu seni dan sains membujuk masih terpakai walaupun telah dipinda dan dilestarikan oleh pakar retorik yang kemudian.

Secara klasiknya, tiap komunikasi bercorak bujukan, sama ada lisan ataupun tulisan, boleh dikaji dari sudut retorik. Bagaimanapun, definisi ini telah diperluas dalam zaman moden. Seorang tokoh retorik moden, Kenneth Burke, telah meluaskan tujuan retorik daripada bujukan kepada identifikasi. Apabila seseorang menyatakan sesuatu kepada orang lain – misalnya menanyakan, ’Apa khabar?’ – tujuannya bukanlah untuk membujuk atau mempengaruhi yang diajak berbicara itu. Dalam hal ini tujuannya mungkin mahu berbasa-basi, mahu memperagakan dirinya sebagai seorang yang bersopan santun, bukan seorang pendiam atau sombong. Sebenarnya dalam hal ini pembicara itu telah berusaha mengidentifikisikan dirinya dengan khalayaknya. Maka pada ucapan sesederhana ini pun terdapat aspek retorik yang sesuai dan menarik dikaji.

Hari ini ruang lingkup retorik bukan saja lebih luas daripada bujukan malahan ia tidak lagi terbatas kepada komunikasi lisan atau seni pidato. Sama ada komunikasi itu bercorak lisan mahu pun tulisan, sama ada bujukan mahu pun pertanyaan yang sederhana, sama ada tujuannya politik mahu pun sosial, terdapat padanya unsur retorik yang boleh jadi menarik untuk diperkatakan. Demikianlah ringkasnya, retorik itu sains dan seni berkomunikasi dengan berkesan.

Sehingga ini retorik dianggap sebagai salah satu kaedah mengkaji bahasa seperti linguistik, semantik dan stilistik atau ilmu gaya. Jika linguistik menekankan aspek tatabahasa atau kaedah pengunaan bahasa yang betul, semantik mengkaji aspek makna sementara stilistik berhubungan dengan keindahan penggunaan bahasa maka retorik menumpukan perhatian kepada aspek keberkesanan komunikasi. Kenneth Burke melihat retorik sebagai ‘penggunaan bahasa secara simbolik untuk mendapatkan kerjasama daripada insan yang secara nalurinya menyahut kepada simbol.’ (1966;)

Bagaimanapun, pada hari ini kajian retorik dianggap melampaui aspek penggunaan bahasa; termasuk padanya penggunaan alat-alat yang lain seperti simbol, bunyi, muzik, gerak laku, mimik muka dan lain-lain lagi. Penggunaan alat bantu komunikasi ini dikatakan tergolong ke dalam fungsi retorik. Dalam hal ini, Sonja dan Karen Foss mengatakan,’Retorik ialah tindakan yang dilakukan oleh insan apabila menggunakan simbol untuk berkomunikasi antara satu sama lain…’
 

PENDEKATAN RETORIK 

Di Amerika Syarikat  sejak 1960 sudah menjadi tradisi setiap kali diadakan pemilihan presiden, diadakan perdebatan besar di antara dua calon presiden dan dua calon naib presiden. Perdebatan politik nasional ini disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh seluruh pengundi Amerika. Dikatakan perdebatan ini boleh mempengaruhi pengundi, terutama mereka yang di atas pagar. Ahli-ahli retorik telah membuat kajian secara akademik perdebatan-perdebatan ini dan hasil kajian ini telah dibukukan dan dianggap memberikan sumbangan besar kepada bidang yang disebut sebagai komunikasi politik (political communication) (Robert V. Friedenburg, ed., 1996).  

Perdebatan ini - kadang-kadang diadakan lebih dari satu kali di antara calon yang sama -  dianggap sebagai kegiatan terpenting yang memungkinkan pengundi membuat kesimpulan tentang kewibawaaan calon pemimpin agung mereka. Para pengkaji menumpukan pemerhatian, antara lain, tentang kematangan calon menanganggap sesuatu isu semasa, kaedah penyelesaian yang ditawarkan, faktor-faktor kewibawaan, kecerdasan, kualiti kepemimpinan serta kaedah retorik yang digunakan dan kesan-pengaruh atau dampak sesuatu perdebatan kepada khalayaknya. Selain menguji jangkauan calon tentang masalah besar negara, perdebatan ini juga sering menguji perwatakan calon, misalnya apakah mudah menggelabah apabila diprovokasi. Salah satu kekuatan Barrack Obama dikatakan ketenangannya; sedingin timun walaupun diasak dengan pelbagai provokasi.  

Para calon pemimpin pula dikatakan lazimnya membuat persiapan yang rapi dibantu oleh pakar-pakar komunikasi yang ulung dalam bidang komunikasi politik termasuk pakar retorik. Mereka mengadakan raptai beberapa kali dengan membahaskan isu-isu semasa yang dianggap hangat serta genting dan dijangkakan akan dibangkitkan dalam perdebatan. Ringkasnya semua calon pemimpin ini memberikan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap perdebatan ini. 

Saya menyebut perdebatan agung Amerika Syarikat ini hanya untuk menjelaskan peranan retorik dalam politik. Di Malaysia hari ini berlaku juga perdebatan politik di antara individu mewakili parti masing-masing tetapi belum diinstitusikan; berlaku hanya apabila terdapat cabar mencabar. Nampaknya budaya ini belum lagi merata. Namun perdebatan ini juga memberikan faedah politik kepada tokoh dan partai mereka masing-masing. Pendebat yang pintar akan meraih faaedah melebihi lawannya.  

Kertas ini bertujuan mengkaji retorik Dato’ Onn khususnya berkaitan dengan perpaduan Melayu dan kemerdekaan Tanah Melayu. Sebagai korpus kajian ini saya telah memilih ucapan-ucapan Dato’ Onn dalam persidangan UMNO dari 1946 sehingga 1951, iaitu sejak Kongres Melayu yang pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, 1-4 Mac 1946 sehingga ucapan beliau terakhir sebagai Yang Dipertua UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 25-26 Ogos 1951. (Ucapan ini disenaraikan dalam Lampiran 2 dan dalam rencana ini apabila saya membuat rujukan kepada ucapan ini saya akan menyebutkan bilangannya.) Sungguhpun bahan yang saya pilih untuk kajian kecil ini bukanlah bercorak perdebatan tetapi saya dapati ciri kepolimikannya cukup menarik untuk dikaji. Baik kawan maupun lawan tidak pernah menafikan kehandalan Dato’ Onn sebagai pendebat. Walaupun ucapannya bersifat monolog, beliau sebenarnya menjawab dan mendebat pandangan dari sumber lain seperti akhbar, majalah dan ucapan-ucapan pihak lain yang bertentangan dengan pendapat serta pendirian dan tindakan beliau. Misalnya, dalam ucapan di Majlis Mesyuarat Agung Khas UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, pada 10 dan 11 Jun 1950, beliau mengatakan,

    ’Akan tetapi sebelum tepat masanya hendak dikemukakan sesuatu bagi  ditimbangkan maka telah keluar dengan bermacam-macam cara sindiran-sindiran dan tuduhan-tuduhan yang tepat ditujukan kepada saya sebagai berkhianat kepada bangsa, berkhianat kepada negeri dan derhaka kepada bangsa.’ (U16)  

Adalah diharapkan kajian secara retorik terhadap ucapan Dato’ Onn ini akan sedikit sebanyak menyerlahkan dinamika watak dan ketokohan beliau sebagai pemimpin ulung negara, khususnya berkaitan dengan konsep perpaduan Melayu dan kemerdekaan Tanah Melayu. 

ANTARA KURNIAAN ILAHI, BAKAT SEMULA JADI DAN PEMBINAAN DIRI 

Untuk menanggap watak Onn bin Jaafar dengan lebih saksama, saya sekali lagi merujuk kepada dan mengaplikasikan kaedah retorik. Sebagai pemimpin bagi umat Melayu Dato’ Onn muncul sebagai wira bangsa apabila kerajaan penjajahan Inggeris mengambil keputusan melaksanakan gagasan Malayan Union di Tanah Melayu. Beliau dipilih dengan sebulat suara sebagai pengerusi Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946. Latar belakang keluarganya yang elitis - iaitu ayahnya seorang Menteri Besar; mempunyai hubungan yang intim dengan istana Johor iaitu beliau anak angkat Sultan Ibrahim; mendapat pendidikan di Aldenburgh Lodge School, England dari usia lapan sehingga berusia16 tahun - memberikan banyak kelebihan kepada beliau. Namun tidak dapat dinafikan beliau sendiri juga melakar hidupnya untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. (Peristiwa Sejarah Berkkaitan Kehidupan dan Perjuangan Dato’ Onn terdapat dalam Lampiran 1)   

Sekali lagi saya mohon izin untuk kembali kepada ilmu retorik. Menurut retorik, untuk memahami identiti setiap individu dengan saksama kita harus mengambil kira tiga dimensi perwatakannya iaitu Kurniaan Ilahi (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai the given), YangTersiap (the readymade) dan Yang Dibina (the constructed). (Ramage, J. D. 2006;42) Dalam hidup ini, kita sebagai insan tidak boleh memilih, jantina kita (pembedahan jantina dikecualikan), siapa ayah dan ibu kita, bila dan di mana kita dilahirkan dan bila dan di mana kita akan meninggalkan dunia fana ini. Suka atau tidak suka, Onn telah dilahirkan sebagai seorang aristokrat; ayahnya seorang Menteri Besar, jawatan tertinggi yang boleh dicapai oleh rakyat Melayu di Johor pada zaman itu. Ibunya berketurunan Turki dan campuran darah Turki-Bugis itu telah melahirkan  wajah yang tampan dan tubuh yang segak. Anwar Abdullah melukiskan Onn sebagai berikut:

    ‘Berbanding dengan kebanyakan orang Melayu, Dato’ Onn tinggi orangnya, besar bidang dadanya, dengan leher yang jinjang terletak kemas antara dua bahu yang sasa dan tegap. Wajahnya yang bujur sirih itu bertatah dua alis kening dengan bulunya yang lebat dan berimbun melindungi dua biji mata yang sentiasa memancarkan sinar pemandangan yang tajam. Matanya yang menarik itu berkelip hanya sesekali …’ (2005;45)     

Dan menurut Anwar lagi,

    ‘…Dato’ Onn terkenal semasa mudanya sebagai belia yang paling kacak di negerinya.’ (2005;45) 

Tampang Onn ini semata-mata kurniaan Ilahi dan faktor ini pastilah memberikan sumbangan yang tidak kecil kepada Onn sebagai pemimpin khususnya dari segi mempengaruhi khalayaknya. Dalam perkiraan matematik, faktor ini dinilai dengan tanda campur kepada Onn. Ada kalanya terlihat Onn sendiri merasa sensitif dengan darah keturunannya ini; disebut-sebut dalam beberapa ucapannya. Misalnya, dalam ucapan di Majlis Mesyuarat Agung Khas UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 10-11 Jun 1950, Onn mengatakan,

    ‘Tuduhan ini amat berat yang saya sendiri tidak dapat menerimanya. Saya mempunyai darah Melayu, dari dikekalkan tuduhan-tuduhan itu terlebih baik saya tunjukkan kepada bangsa dan tanah air dengan mengundurkan diri dari UMNO.’ ((U7) 

 

Sekali lagi dalam ucapan terakhir sebagai presiden UMNO beliau mengatakan,

    ‘Sebagai seorang yang ada mempunyai di dalam badan saya sendiri darah daripada baka Melayu dan Turki, dan yang tidak tahu lari, barang mustahil saya hendak melarikan diri…’ (U18)  

Bagimanapun, kelebihan kurniaan Ilahi ini mestilah dibarengi oleh ciri identiti kedua mengikut ilmu retorik, iaitu apa yang tersiap (the readymade). Yang dimaksud dengan yang tersiap ialah keadaan atau suasana zamannya: hal-hal alam persekitaran yang, sebahgian besarnya, ditentukan oleh ruang budaya, pasaran dan alam pekerjaan. Tiap-tiap seseorang perlu menyesuaikan dirinya dengan keadaan ini; dia boleh menerimanya begitu saja, boleh menolaknya dan boleh memilih apa yang dia mahu terima dan tolak dalam kadar batas tertentu. Misalnya, kita boleh memilih sesuatu jawatan yang kita suka tetapi kita mesti memenuhi syarat-syarat yang sudah tersiap dengan jawatan itu. Dengan perkataan lain terdapat pilihan tetapi terdapat juga patokan yang sudah tersiap.  

Sesudah tamat pengajian, Onn mesti bekerja. Ia boleh memilih pekerjaan tetapi setiap pekerjaan itu sudah tersiap syarat dan beban tanggung-jawabnya. Ia memilih - barangkali tidak banyak pilihan lain waktu itu - perkhidmatan kerajaan Johor dan antara lain perlu berkhidmat dengan Askar Timbalan Setia Johor atau Johore Military Forces (JMF). Dalam masa yang singkat dia dinaikkan pangkat ke leftenan muda tetapi kemudian memilih diturunkan pangkat, menjadi askar biasa saja. Ini amat luar biasa pada waktu itu, sebenarnya juga hari ini. Bagaimanapun, Sultan Ibrahim tidak menganggap ini sebagai lucu. Baginda tidak dapat menerima feel dan karinah anak muda ini. Onn dipecat daripada jawatannya dengan kerajaan Johor. Ahli sejarah tidak sepakat sebab sebenar Onn dipecat. Dari sudut retorik yang kita sedang bicarakan, jelaslah sebagai orang muda yang idealistik ini tidak menerima begitu saja apa yang tesedia buatnya. Ia memilih untuk memprotes sedangkan suasana dan alam lingkungan zamannya tidak memberi ruang kepada tindakan serupa itu. Onn telah membuat pilihannya sendiri dan mestilah menerima akibatnya. Pastilah pilihan ini menjelaskan watak dan potensi ketokohannya sebagai pemimpin.  

Ciri identiti ketiga menurut ilmu retorik disebut sebagai the constructed iaitu apa yang dibina sendiri oleh seseorang individu untuk dirinya. Misalnya, Onn memilih untuk mengkritik Sultan Ibrahim kerana ketamakan dan kekejaman baginda terhadap askar JMF. Pastilah beliau tahu apa yang akan dideritanya akibat daripada perbuatan itu. Mengapa beliau berbuat demikian? Inilah ciri perwatakan seseorang insan yang luar biasa. Beliau terdorong melakukan ini oleh rasa belas kasihan kepada rakyat yang tertindas dan marah kepada Raja yang kejam dan rakus. Pastilah ramai pegawai tinggi kerajaan Johor yang tahu tentang penganyayaan terhadap rakyat jelata ini dan daripada mereka tidak sedikit pula yang terusik hatinya dengan keadaan ini tetapi hanya Onn sendiri yang berani bangkit berbicara. Dari sudut identiti, apa yang dilakukannya itu berbicara sendiri tentang bakat kepemimpinannya sejak usia masih muda lagi. Saya percaya ini dilakukannya pada masa itu terbitnya dari hati yang tulus ikhlas, tanpa memikirkan apa-apa tujuan politik. Bagaimanapun, kita lihat apabila sudah menjadi tokoh politik dan berada dalam keadaan terdesak beliau sendiri tidak lupa membangkitkan peristiwa ini sebagai tanda ketekalan beliau dalam perjuangan. Dalam ucapan terakhirnya sebagai Yang Dipertua UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada pada 26 Ogod 1951, beliau mengatakan;

    ‘Saya menentang kepada raja saya sendiri oleh kerana perbuatannya kepada anak negeri, maka saya telah diberhentikan daripada jawatan kerajaan dan dibuang daripada negeri Johor itu. Oleh kerana kemudian daripada itu saya membantah lagi kepada raja saya sendiri di atas kezalimannya membuat rakyatnya, maka lagi sekali saya telah dihalaukan daripada jawatan kerajaan. Oleh kerana saya sendiri tidak dapat hendak menerima syarat-syarat yang didatangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor ke atas saya, menyekat pekerjaan dan perjalanan saya semasa menjadi Yang Dipertua UMNO ini, maka saya telah meletakkan jawatan Menteri besar itu. Adakah langkah-langkah yang semacam itu, langkah seorang yang semata-mata berkehendak mencari kebesaran dirinya?’ (Anwar Abdullah, 2005;273)     

Dengan mengcamkan dan mengenal pasti tiga aspek identiti ini, iaitu Kurniaan Ilhai, Yang Tersedia dan Yang Dibina, saya percaya kita boleh melihat watak kepemimpinan Dato’ Onn dengan lebih saksama. Cerita-cerita dari riwayat hidup Dato’ Onn kaya dengan bahan yang memperlihatkan pembinaan ciri kepemimpinannya, sama ada secara sengaja atau pun secara naluri. Semasa belajar di England, beliau bukan saja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga dalam bidang sukan. Beliau telah terpilih sebagai kapten bagi dua pasukan sukan sekolahnya, iaitu bola sepak dan krikit dari kalangan pelajar yang sebahgian besarnya orang Inggeris. Menurut Ong Siew Im (1998; 33) ini bukan sangat kerana kehebatannya dalam kedua-dua sukan tersebut tetapi lebih oleh kerana kecekepannya sebagai pengurus. 

Menurut pengakuannya sendiri waktu pulang dari England, ia tidak boleh berbahasa Melayu. Dalam pelayaran pulang dengan kapal, ia berusaha mengingatkan perkataan Melayu sebanyak mungkin. Ia kemudian telah dihantar ke Kolej Melayu, Kuala Kangsar selama dua tahun untuk menjadikannya ‘orang Melayu’ semula. Sebagai pelajar yang cerdas dengan cepat ia dapat menguasai bahasa itu termasuk tulisan Jawi. Harus dimaklumi di Johor pada masa itu urusan rasmi dijalankan dalam tulisan Jawi. Dan anak muda Onn telah berusaha membina dirinya (construct dalam istilah retorik) sebagai orang Melayu tulen dengan meluangkan masa yang banyak di perpustakaan ayahnya, membaca buku dan naskhah Melayu lama termasuk yang digemarinya hikayat dan cerita-cerita penglipur lara. Di sini kita lihat keserasian sekali gus faktor Tersedia dengan faktor Pembinaan. Tidak semua orang bernasib baik seperti Onn pada masa itu mempunyai kemudahan perpustakaan di rumahnya. Tetapi perpustakaan ini tidak bermakna apa-apa kalau Onn sendiri tidak berminat untuk membaca dan menumpukan perhatian bercengkerama dengan khazanah Melayu lama itu. Berapa ramai daripada mereka yang memperagakan diri sebagai ‘pemimpin Melayu’ pada hari ini tetapi belum pernah membaca Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu sedangkan buku ini boleh didapati dengan mudah. Onn juga menjadi peminat teater tradisional Melayu, Bangsawan sehingga terpikat dengan anak wayang, peminat lagu-lagu ghazal serta melibatkan diri dalam pencak silat; ini melengkapkan pendidikan diri dengan kebudayaan Melayu secara kendiri oleh anak muda yang telah sekian lama makan garam Inggeris. 

Saya rasa di antara nilai possitif yang dibawa pulang dari England pastilah pemikiran demokrasi, kebebasan individu dan penentangan penganyayaan. Dalam sejarah hidupnya, Onn sukar menyesuaikan dirinya dengan amalan feudalisma dan sistem pemerintahan diraja yang bersifat kuku besi. Nilai ini juga yang telah membawa kepada pertentangan yang sengit antara beliau dengan Sultan Ibrahim sekurang-kurangnya dua kali dalam hidupnya. Pertetangan ini memperlihatkan pertembungan antara nilai demokrasi dengan otokrasi, antara hak rakyat jelata dengan kuasa mutlak raja yang memerintah. Saya percaya pengetahuannya tentang tradisi Melayu yang diperoleh dari pembacaan teks Melayu lama pastilah  memainkan peranan mengukuhkan nilai-nilai ini dalam diri Onn. Antaranya falsafah, ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.’ Demikianlah walaupun dilahirkan seorang aristokrat, beliau memilih untuk berada di pihak rakyat. Nilai-nilai ini telah banyak mempengaruhi jiwa anak muda yang cerdas ini dan mempertajam naluri kepemimpinan semula jadinya walaupun bercanggah dengan pengaruh lingkungan keluarga, alam sekitar dan kedudukannya, serta nilai feudalisma yang diwarisinya turun temurun.  

Pastilah dalam diri anak muda yang cerdas ini berlaku konflik dalaman yang berkecamuk, antara pemikiran yang rasional dengan nilai tradisi yang diwarisinya dengan perubahan zaman yang disaksikannya dan dialaminya. Pada tahun 1922 perkhidmatan Onn dengan kerajaan Johor telah ditamatkan dan lebih teruk lagi pada tahun 1927 beliau telah dipersona non gratakan. Beliau serta keluarga pindah ke Singapura dan terpaksa menyara kehidupan sebagai manusia biasa. Kata orang Melayu, benih yang baik tercampak ke laut pun akan menjadi pulau. Di Pulau Singapura inilah Onn menjana kerjaya baru, iaitu sebagai wartawan. Mula-mula (1929) beliau menulis dalam bahasa Inggeris untuk Sunday Mirror di bawah tajuk ‘Tyranny in Johore’ yang mendedahkan kekejaman yang berlaku di Johor yang melibatkan Sultan Ibrahim. Kemudian beliau masuk ke arena kewartawanan Melayu dan berkhidmat sebagai pengarang Warta Malaya (1930-33) akhbar harian milik Syed Hussain al-Sagoff, lantas pengarang mingguan Lembaga Malaya dan harian Lembaga (1934-35) milik Syed Alwi al-Hadi dan selanjutnya pengarang Warta Ahad dan Warta Malaya (1935). Akhbar dan majalah yang beliau terajui menjadi fora bagi anak muda Onn menyuarakan pandangannya yang bernas dan kritis tentang isu berkaitan dengan politik, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, budaya dan lain-lain lagi bebas daripada kongkongan alam feudal Johor. Dalam ruangannya, Onn masih terus menerus mengkritik kegiatan-kegiatan Sultan Ibrahim yang tidak disenenganginya. 

Mengenai kegiatan kewartawanan Onn, doyan kewartawanan Malaysia, Tan Sri A. Samad Ismail telah memberikan sanjungan yang tinggi kepada beliau, ‘Dato’ Onn adalah sejajar dengan Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad sebagai seorang wartawan dan sebagai pelopor kewartawanan Melayu.’ (Anwar Abdullah, 2005;25) Beliau mengakhiri hayatnya juga sebagai wartawan majalahnya sendiri, iaitu Kritik di samping menjadi anggota parlimen. 

Kelihatannya, kemarahan Onn terhadap Sultan Ibrahim sedikit demi sedikit menjadi reda dan pada tahun 1935 sikap beliau telah berubah sama sekali apabila beliau menerbitkan Selamat Johor Tanda Kenangan, dengan tajuk kecil yang panjang Pengingat Kesyukuran Ulang Tahun Yang Ke Empat Puluh Bagi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Bersemayam Di Singgahsana Tahta Kerajaan Johor. Buku bergambar berukuran A4 dan dijual dengan harga seringgit pada masa itu dikatakan amat popular sehingga perlu segera diulang-cetak. Lebih penting lagi bagi Onn, buku ini berhasil memikat hati Sultan Ibrahim dan menjadi jambatan memulihkan semula hubungan Onn dengan Sultan Ihrahim. Sebagai maklumat sampingan, Yayasan Warisan Johor telah menerbitkan semula buku ini pada tahun 2008 dalam format asalnya.  

Beliau diampunkan oleh Sultan Ibrahim dan lantas dibenarkan pulang dan pada tahun 1936 dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan selanjutnya dilantik sebagai Setiausaha Peribadi kepada Tengku Mahkota Johor pada tahun 1938. Ini menandakan hubungan Onn-Sultan Ibrahim telah memasuki fasa baru. Melihatnya dari kaca mata hari ini penerbitan buku Selamat Johor menyerlahkan bakat politik Onn. Ia mahu memulihkan hubungannya dengan Sultan Ibrahim dan tahu pula bagaimana memenangi hati Sultan itu seperti ia tahu bahawa masa depannya akan semakin suram jika dia terus menerus berada di luar negeri Johor. Bagaimanapun, ia mahu melakukannya dengan cara terhormat tanpa melutut di hadapan Paduka Sultan. Barangkali kerja sebagai wartawan memberikan kepuasan jiwanya tetapi pendapatannya tidaklah seberapa. Saya rasa naluri individunya bersifat idealistis, mahu hidup bebas daripada kongkongan feudalisma dengan segala kebobrokan dan kekejamannya, tetapi sebagai seseorang yang bercita-cita tinggi, Onn mengambil keputusan untuk bersikap realistis. Dilihat dari sudut retorik, apa yang hendak dibina oleh Onn untuk hidupnya dibatasi oleh alam persekitaran yang sudah tersedia. Mahu tidak mahu beliau terpaksa tunduk kepada kehendak persekitaran itu.       

Walaupun dia mengalami pelbagai kesengsaraan meneruskan hidupnya sebagai orang buangan, sebenarnya kehidupan sebagai rakyat jelata menambah lagi markanya sebagai calon pemimpin ulung. Ini sebahgian daripada badai persekolahan politik yang dilaluinya. Anwar Abdullah banyak sekali menukilkan cerita yang pada hari ini amat jelas memperlihatkan naluri semula jadi Onn sebagai pemimpin. Dalam zaman pemerintahan Jepun, ia memilih untuk mengungsi bersama rakyat di Hutan Kempas walaupun telah diarahkan oleh Bagina Sultan untuk menyertai Baginda di Batu Pahat. Sudah tentu di Batu Pahat, keadaannya jauh lebih selamat dan selesa. Jika kita percaya kepada Anwar Abdullah – saya tidak ada alasan untuk tidak mempercayainya - semasa di Hutan Kempas beliau telah tidak berhenti-henti menolong orang yang dalam kesusahan sehingga secara alamiah beliau dianggap sebagai pemimpin oleh pengungsi di situ.       

Menurut cerita isterinya, Datin Halimah seperti yang diriwayatkan oleh Anwar Abdullah, walaupun sudah satu hari satu malam tidak makan, apabila diberikan bubur oleh isterinya, dia menyuruh memberikannya kepada seorang lain yang lebih tua daripadanya. Ia hanya makan apabila dipaksa oleh Datin Halimah. Pastilah banyak lagi cerita yang boleh dinukilkan tentang sifat kepemimpinan semula jadi yang dimiliki Onn. Dari mana datangnya sifat-sifat ini? Tidak mungkin telah direncanakan dengan rapi oleh beliau dengan tujuan untuk menjadi pemimpin agung satu hari nanti. 

Dilahirkan dari keluarga aristokrat Johor – ayahnya seorang Menteri Besar – dan dibesarkan di istana sebagai anak angkat Sultan, mendapat pendidikan awal di ‘Public School’ England dan kemudian di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Onn bin Jaafar telah ditempa untuk mengikuti jejak langkah ayahnya, untuk suatu hari menjadi Menteri Besar Johor. Ini boleh dikatakan apa yang tersedia buatnya. Bagaimanapun, selain daripada nasibnya yang baik – boleh dikatakan dilahirkan dalam dulang emas – dan kelebihan bakat semula jadinya kurniaan Yang Maha Kuasa, tidak dapat dinafikan Onn telah melakar sendiri (membina, menurut istilah retorik) sejarah hidupnya dengan berani dan tabah untuk tidak mengikuti saja jalan konvensional yang sudah dirintis ayahnya dan orang-orang sebelumnya. Akibatnya beliau menderita padahnya. Pada umur 16 tahun beliau telah mula berkhidmat dengan kerajaan Johor dan ternyata beliau pekerja yang cekap kerana dengan cepat telah meningkat sebagai Kerani Besar. Tetapi ternyata ini tidak menggembirakan hatinya. Sebagai seorang yang kritis dan idealis, beliau  nampak kelemahan dan kepicikan dalam amalan harian pemerintahan, yang tidak menarik perhatian orang lain. Mungkin juga menarik pehatian sesetengah orang tetapi tidak ada yang berani mengangkat suara menegurnya. Inilah kelebihan Onn bin Jaafar. 

Nampaknya tidak begitu jelas sebab musabab Onn dipecat dari jawatannya buat kali pertama. Rasminya, Sultan murka kerana Onn telah melanggar sopan santun dan adat istiadat Melayu. Bagaimanapun, dua tahun kemudian Onn diampunkan dan diterima semula sebagai pegawai perkhidmatan awam Johor. Kerjayanya terus menanjak sehingga menjawat Pegawai Penolong Pemungut Hasil Tanah.  

Keberanian dan kedegilan adalah dua sifat yang sering dihubungkan dengan Onn. Beliau selalu mengaitkannya dengan keturunannya, campuran baka Melayu-Turki. Beliau dilantik menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat setelah pegawai sebelumnya Encik Ismail bin Abdullah dibunuh oleh gerombolan Bintang Tiga. Onn mengambil risiko diri yang besar apabila bersendirian pergi menemui Ketua Bintang Tiga itu di sarang mereka. Kemudian ia pergi pula menemui Kiyai Salleh yang sedang menghimpunkan orangnya dan bersiap sedia untuk menyerang pasukan Bintang Tiga itu. Barangkali lukisan Anwar Abdullah peristiwa ini agak sedikit dramatis:

    ‘Nah ini dada saya,’ Dato Onn mencabarnya, ‘Tikamlah saya kalau awak tak mahu dengar cakap saya. Kalau sudah bunuh saya, barulah buat apa saja yang awak suka. Selagi ada nyawa di badan, saya tidak benarkan dan saya tidak rela awak berbuat demikian.’ (2005;131) 

Pada waktu itu orang-orang Kiyai Salleh telah bersedia untuk menyerang kubu Bintang Tiga di Bagan, Batu Pahat. Dengan tindakan berani Onn itu, ‘Peristiwa Bagan’ telah berjaya dihindarkan. Dengan demikian terselamatlah negara daripada pertempuran antara Melayu-Cina yang boleh merebak ke seluruh negara. Keberanian dan ketabahan Onn dalam peristiwa itu telah menjadi cerita legenda untuk beberapa waktu.  

Onn secara nalurinya tidak suka kepada kekejaman, keganasan dan rusuhan dan mahu menyelesaikan masalah menurut peraturan dan undang-undang. Misalnya, beliau tidak berseuju dengan tindakan rusuhan orang Islam dalam peristiwa Nadrah di Singapura (1950-51) sedangkan pada waktu itu boleh dikatakan semua akhbar Melayu, kesatuan dan persatuan Melayu-Islam serta beberapa cawangan UMNO dan orang awam secara individu terlibat sama menyokong rusuhan itu. Malahan Pemuda UMNO sendiri pun membuat kenyataan menyokong tindakan orang Melayu-Islam merusuh itu. Bagi Dato’ Onn ini ialah semata-mata isu undang-undang dan mestilah diselesaikan secara undang-undang pula. Pandanagan beliau ini telah menyebabkan beliau dikutuk oleh ramai orang Islam dan media Melayu. Apabila berlaku kekejaman yang dahsyat pengganas Bintang Tiga membakar Rumah Pasung Bukit Kepung, di Muar dan membunuh semua anggota polis yang berkhidmat di situ termasuk ramai anak bini mereka sekali, beliau menasihatkan orang Melayu supaya jangan mengambil tindakan balas kepada mereka yang tidak bersalah. Semasa revolusi Indonesia 1946, beliau mencegah anak muda Melayu pergi ke Indonesia untuk menyertai revolusi berdarah itu. Perjuangan baginya mestilah mengikut landasan undang-undang. Dalam ucapannya di Majlis Mesyuarat Agung UMNO di Kelab Seremban, 1-2 Mac 1947, beliau membangkitkan isu ini,

    Kepada pemuda-pemuda Melayu, terutama sekaliannya saya suka mengadapkan percakapan bahawa masa ini kita selalu mendengar perkataaan MERDEKA – mengajak kepada pemuda-pemuda itu bermandi darah dan mengorbankan jiwanya. Apakah gunanya sepuluh orang pemuda terbaring di dalam tanah? Bukankah baik seorang pemuda berdiri dengan sihat bersedia bekerja bukan kerana faedah dirinya sendiri melainkan kerana bangsa dan tanah airnya? Ini bukan masanya bersorak-sorak tatkala Melayu dihimpit oleh segala bangsa di negerinya. Ini bukan masanya berkorban. Orang Melayu tua atau muda ialah hak bangsanya hari ini. Kehendak bangsanya bukan berkehendakkan pemuda-pemudanya yang tiada bernyawa tetapi yang ada bernyawa. (Mohamed Abid, 2003;119-20)   

Kutipan ini menjelaskan sikap Onn berkenaan konsep revolusi. Dalam kamus perjuangan beliau tidak ada tempat pertumpahan darah. Semuanya mestilah dijalankan menurut prosedur undang-undang. Sudah tentu kalau berjuang berdasarkan undang-undang semata-mata Indonesia tidak mungkin mencapai kemerdekaannya pada tahun 1946. Itulah bezanya antara kepimpinan Onn dengan Sukarno-Hatta; antara evolusi dengan revolusi, antara perjuangan mengangkat senjata dengan bersuara melalui perlembagaan.   Pastilah latar belakang feudalisma, sistem pendidikan yang dilaluinya, hububungannya yang mesra dengan orang Inggeris dan kepercayaan yang teguh kepada kedaulatan undang-undang telah memainkan peranan yang besar membentuk sikap politik Onn. Sedar atau tidak inilah faktor tersedia yang pada satu pihak membelenggu Onn dan pada pihak yang lain mendefinisi corak dan gaya perjuangan politik negara kita. 

Dalam sejarah hidupnya Onn telah beberapa kali berbalah dengan Sultan Ibrahim dan pernah secara terbuka mengkritik peribadi Baginda seperti telah disebutkan di atas. Bagaimanapun, apabila Sultan Ibrahim secara terburu-buru dan tanpa berunding dengan para penasihatnya, menanda-tangani surat penyerahan kedaulatan negeri Johor yang disodorkan MacMichael kepadanya, Onn mengambil sikap tidak menyokong tindakan yang diambil oleh kumpulan yang lebih dikenali sebagai ‘Orang Tujuh’ untuk menggulingkan Sultan dan menggantikan Baginda dengan anggota keluarganya yang lain. Menurut beberapa sumber, termasuk Anwar Abdullah (2005;214-5) Onn sebenarnya telah pada mulanya bersetuju dengan cadangan Orang Tujuh tersebut malahan telah mencadangkan nama Tengku Abu Bakar sebagai penggganti Sultan Ibrahim. Bagaimanapun pada saat terakhir, beliau telah menukar fikiran dan menyokong pendirian mempertahankan Sultan Ibrahim. Masih tidak jelas hingga hari ini bagaimana dan mengapa beliau telah mengubah fikirannya. Ada yang berpendapat beliau tidak mahu menerima pimpinan orang lain, dalam hal ini Orang Tujuh tersebut. Akibat tindakan Onn itu usaha Orang Tujuh gagal dan mereka mengalami tindakan balas daripada pihak Sultan. Isu ini berbangkit apabila pada tahun 1955, Onn mewakili Parti Negara bertanding melawan Sulaiman bin Abdul Rahman, salah seorang daripada kumpulan Orang Tujuh, mewakili UMNO. Dilaporkan pemimpin UMNO Johor, di antaranya ahli kumpulan Orang Tujuh seperti Tan Sri Hassan Yunos dan Dato’ Sulaiman sendiri telah membangkitkan isu kejujuran Onn sebagai pemimpin dalam kempen mereka. Onn kalah dalam pilihan raya itu. Isu ini telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya tetapi sebab musabab beliau kalah pastilah terdiri daripada banyak faktor lain, termasuk kehilangan kepercayaan kepada agenda perjuangan Parti Negara itu sendiri.  

RETORIK ONN BIN JAAFAR 

Peristiwa-peristiwa penting yang berkaitan dengan riwayat hidup Onn diberikan dalam Lampiran 1 di akhir rencana ini untuk memudahakan rujukan. Selanjutnya saya akan cuba membincangkan retorik Dato’ Onn berdasarkan kepada ucapan yang beliau sampaikan dalam Kongres Melayu dan dalam Persidagan Agung UMNO di bawah beberapa tajuk kecil berdasarkan kepada isu-isu yang beliau bangkitkan. Sebagai Pengerusi Kongres Melayu beliau telah membuat tiga ucapan, termasuk ucapan dalam Kongres ketiga pada 11 Mei 1946 yang menubuhkan PEKEMBAR/UMNO. Sebagai Yang Dipertua UMNO beliau telah membuat 14 ucapan lagi. Semua ucapan ini disenaraikan dalam Lampiran 2. Kutipan yang dibuat dalam rencana ini merujuk kepada angka giliran senarai ucapan tersebut.  

 Selanjutnya saya akan bincangkan ucapan-ucapan Dato’ Onn ini di bawah tajuk-tajuk kecil sebagai berikut:

  •  
    •  
      •  
        1. Perpaduan Melayu dan Malayan Union
        2. Antara Melayu dengan Malayan
        3. ‘Raja itu rakyat, rakyat itu raja’

 

Perpaduan Melayu dan Malayan Union 

Kongres Melayu pertama dipanggil sebagai reaksi orang Melayu terhadap gagasan Malayan Union yang dipaksakan oleh kerajaan penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Dato’ Onn telah dilantik menjadi pengerusi Kongres tersebut dan sewajarnyalah dalam ucapan sulungnya beliau memfokuskan perhatian kepada perpaduan Melayu dalam usaha merangsang fikiran dan perasaan khalayaknya untuk menentang Malayan Union itu.  

Malayan Union seolah-olah telah menyentak bangun kesedaran politik orang Melayu yang lena dalam kelompok, suku dan negeri masing-masing. Dato’ Onn telah tampil ke muka menyedarkan mereka serta menyuntik semangat perpaduan di kalangan mereka.  Bagi beliau persidangan sulung itu bertujuan;  

    ’menciptakan tapak-tapak bangunan yang akan menghasilkan dan membuktikan cita-cita bangsa kita yang telah diidam-idamkan, iaitu persatuan di antara kita sendiri.’ (U1)

Selanjutnya beliau telah menjelaskan bahawa ini hanya boleh dicapai apabila orang Melayu ’berpegang teguh kepada suatu kepercayaan yang lebih besar dan lebih tinggi daripada bangsa itu sekalian.’(U1) 

Dan apakah ’kepercayaan yang lebih besar dan lebih tinggi’ itu? Jawapannya dapat diketemukan dalam ungkapan berikut: ’meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita’, ’supaya tanah air dan bangsa kita ini terselamat dan kuat’, ’menolakkan keaiban yang disebabkan oleh kebinasaan dan kehapusan bangsa kita’, ’memperbaiki keadaan kehidupan bangsanya’, ’kesusahan-kesusahan orangnya dapat diperbaiki dan diselamatkan.’ Singkatnya, memelihara orang Melayu daripada dimusnahkan daripada muka bumi ini dan meningkatkan taraf hidup mereka sebagai bangsa yang bermaruah dan bertamadun. Seperti layaknya dengan suasana perhimpunan itu beliau menggunakan perkataan seruan dan desakan yang tinggi nadanya serta sarat dengan emosi seperti maruah, kesopanan, keaiban, kebinasaan dan kehapusan. Perhatikan pada masa itu istilah ’merdeka’ masih belum muncul dalam kosa katanya.     

Istilah yang paling sering beliau gunakan ialah persatuan dan kesatuan dan digunakan secara bertukar-ganti sebagai sinonim seperti persatuan di antara kita sendiri, kesatuan hati di antara kita, kesatuan kebangsaan, bersatu suara, bersatu niat, dan bersatu ikhtiar. Lazimnya beliau menyebut Melayu sebagai bangsa seperti bersombong hati sebagai bangsa Melayu dan timbangan neraca bangsa kita tetapi ada kalanya beliau menggunakan perkataan umat seperti umat Melayu dan umat Indonesia 

Seperti lazimnya dalam ucapan bercorak seruan dan desakan nadanya tinggi dan beliau banyak menggunakan pertanyaan retorik, contohnya;

    ’Adakah kita hendak memandang sahaja akan hal-hal itu atau adakah kita berkendak jua menyaingi mereka itu?’

    ’Adakah kita berfikir perbuatan ini tidak terdaya kepada kita membuatnya?’(U1) 

Satu lagi gaya seruan yang sering digunakan oleh pengamal retorik yang mahir ialah mengulangi perkataan atau frasa tertentu beberapa kali dengan variasi yang berlainan atau ulangan yang tampan. Dato’ Onn banyak sekali melakukan ini dengan cukup berkesan seperti perkataan marilah, bersatulah, dan hendaklah. Dalam salah satu ucapannya perkataan Marilah pada permulaan ayat diulang tujuh kali. Pastilah ini mendatangkan kesan yang bergema atau menusuk kalbu khalayaknya. Izinkan saya mengutip ini sepenuhnya untuk menjelaskan maksud saya dan kesan permainan retorik ini:

  •  

      Marilah kita tunjukkan kepada dunia roh dan semangat datuk nenek kita masih ada lagi dengan kita.

  •  

      Marilah kita tunjukkan iaitu kita masih boleh mengangkat kepala kita dan menatap dunia bagaimana orang yang benar dan kuat hatinya membuat.

  •  

      Marilah kita tunjukkan iaitu seberat-berat paluan boleh kita pertahankan dengan tersenyum dan berhidup dengan lebih segar daripada dahulu.

  •  

      Marilah kita tunjukkan iaitu dengan persatuan di antara kita maka kita berkehendakkan mmenzahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan subur, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar di sisi bangsa lain yang tetap dan bersatu.

  •  

      Marilah kita mengaku akan diri kita tidak kurang sedikit pun dari lain-lain bangsa.

  •  

      Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita, dan

  •  

      Marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan-perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar.’ (U1)

 

Salah satu ciri pemidato atau penulis yang ulung ialah ungkapannya yang kaya dengan unsur retorik dan boleh menjadi mutiara kata dan diulang oleh penulis atau pemidato yang lain. Demikianlah halnya dengan Dato’ Onn. Untuk mengutip beberapa contoh:

            Bersatu suara, bersatu niat, bersatu ikhtiar (U1)

            Memelihara maruah dan kesopanan bangsa(U1)

            Raja jadi rakyat, rakyat jadi raja(U3)

            Dengan sekata, dengan sepakat dan dengan serentak(U2) 

Perhatikan rujukan kepada pihak yang dianggap ’musuh’ atau ’lawan’ yang sedang dihadapi masa itu seperti pada ungkapan,  

          ’...mengadakan suatu ikhtiar bagaimana hendak terselamat daripada    

                         dibinasakan oleh bangsa lain...’ (U1)

  •  

      ’Saya telah mendengar iaitu persatuan di antara orang Melayu akan menjadi merbahaya kepada lain-lain bangsa di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini. Akan tetapi saya tidak mengerti apa sebabnya.’(U1) 

  •  

      ’akan tetapi tiada patut dibimbang bahawa kesatuan di antara orang Melayu itu akan membawa kepada pergaduhan dan perkelahian lagi.’(U1) 

  •  

      ’Ada juga pihak Melayu yang menyertai langkah bertujuan menuntut Semenanjung Tanah Melayu ini dijadikan sebuah negeri dipunyai sama

  •  

      oleh bangsa-bangsa lain.’ (U7) 

  •  

      ’...pihak yang tak bersetuju dengan susunan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu satu barang yang ternyata terbit daripada mulanya yang seterang-terangnya menunjukkan pihak sebelah itu bukannya pada kehendak menguatkan pendirian orang Melayu melainkan mencadangkan supaya hilang terus nama Melayu itu. ’(U8)  

  •  

      ’... ada pula pihak  yang berhajat orang Melayu itu hendak dimasukkan jadi Malayan.’(U8)   

  •  

      ’Pelik ialah kerana memikirkan pendapatan pihak itu tidak bersetuju kepada dasar yang hendak menjadikan negeri ini sebenar-benarnya negeri Melayu dan bangsanya bangsa melayu, pemerintahanya dijalankan oleh orang Melayu. (U6) 

 

Perhatikan juga pada peringkat ini Onn menganggap Tanah Melayu milik Melayu saja dan menolak istilah Malayan dan bangsa-bangsa lain sebagai pemilik bersama Tanah Melayu.

 

Ucapan Onn kepada Kongres kedua di Kuala Lumpur menumpukan perhatian kepada langkah-langkah praktis yang perlu diambil untuk menentang pelaksanaan Malayan Union iaitu meminta raja-raja tidak menghadiri Majlis Mesyuarat Gabnor Malayan Union dan memboikot istiadat pertabalan Gabnor itu; semua yang dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat menarik diri dan semua orang Melayu berkabung selama tujuh hari. 

Dalam ucapan pada Kongres Melayu ketiga di Johor Bahru, di samping mengecam golongan Melayu yang ’hatinya bukan Melayu’, beliau menekankan persatuan antara raja dengan rakyat. Beliau menciptakan peribahasa baru; ’rakyat jadi raja dan raja menjadi rakyat’. Pastilah ini berkaitan dengan peristiwa perjuangan menentang pembentukan Malayan Union di mana para Sultan dengan mudah menyerahkan kuasa kepada Inggeris dan rakyat jelata di bawah pimpinan Onn telah berhasil menabalkan mereka semula ke atas takhta mereka.

 

Di antara perkara yang mesti diatasi untuk mengukuhkan perpaduan Melayu ialah menipiskan semanagat kenegrian dan kesukuan yang masih tebal di kalangan orang Melayu. Maka itu salah satu tugas utama Dato’ Onn mengurangkan perasaan kenegerian dan kesukuan ini dengan menekankan unsur keMelayuan. Demikianlah, dalam ucapan di Majlis Mesyuarat Agung UMNO di Kelab Seremban pada 1 Mac 1947, beliau mengatakan:

      ’Tujuan umat Melayu bersatu padu itu sungguhpun pada waktu ini terkhas

    dihadapkan kepada menolak Malayan Union tetapi tujuannya bukan yang demikian itu sahaja. Tujuannya adalah lebih besar lagi iaitu hendak menyatukan umat Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini.’(U6) 

Bagaimana ini boleh dicapai? Beliau menjawab:

    ’Dengan adanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ini maka fikiran yang berasing-asing itu telah terlucut dan daripada Semenanjung Tanah Melayu ini adalah dua belas buah negeri dan jajahan yang diduduki oleh orang Melayu yang sekarang ini telah disatukan.’ (U6)  

Beliau mengecam pihak yang hendak memecahkan bangsa Melayu dengan menyeru dan menghasut kepada segolongan orang Melayu supaya jangan mengaku dirinya umat Melayu tetapi umat Indonesia. Selanjutnya, beliau menegaskan, ’pihak penduduk-penduduk keturunan Indonesia, yang ada di sini telah bersatu dan menyokong dan bersatu dengan PEKEMBAR.’ Dan seterusnya, beliau menyeru:

    ’Marilah kita bersatu dengan tidak membezakan sama ada kita datang dari Bugis, dari Banjar, dari Jawa, dari Bali, dari Sumatera dan sebagainya melainkan kita tumpukan kepada bangsa yang satu sahaja.’(U6)  

  

Perpaduan, menurut Dato’ Onn mestilah terjalin bukan saja di antara individu tetapi juga ’di antara negeri-negeri Melayu itu dengan sebuah negeri itu.’(U9) Selanjutnya beliau menegaskan:

    ’...tidak boleh didirikan Persekutuan itu jika sekiranya tiap-tiap negeri yang terkandung di dalamnya itu masih berkehendak berpegang kepada kuasa-kuasa yang dahulu dikatakan ada kepadanya.’( U9) 

Seperti terbukti dari ucapan-ucapan beliau di atas sehingga peringkat ini dalam perjuangan politiknya, sikap Dato Onn bahawa Semenanjung Melayu milik orang Melayu dan perlu diperintah oleh orang Melayu sendiri, tidak berbelah bagi. Beliau terus menerus meniupkan semangat dan harapan kepada pengikutnya:

    ’...kita akan berjalan di atas jalan itu beramai-ramai dengan tidak diendahkan beberapa banyak bantahan dan halangan daripada bangsa-bangsa lain ataupun bangsa Melayu sendiri.’ (U10) 

Namun demikian beliau tidak lupa mengingatkan pengikutnya akan bahaya yang dihadapi; perhatikan ingatan berikut dalam bahasa kiasan:

    ’...berbagai-bagai bahaya dari hutan masih ada dan dari gunung pun masih ada, tetapi ada lagi satu merbahaya iaitu yang tumbuh daripada tanah yang bersembunyi dan menjalankan akarnya hendak mengait umat Melayu terhentak jatuh.’ (U11)   

Dari contoh-contoh di atas jelaslah bahawa pimpinan Dato’ Onn bukan saja berhasil menyatu-padukan segolongan besar umat Melayu di bawah panji PEKEMBAR/UMNO tetapi berhasil pula menggariskan kaedah yang berkesan untuk melaksanakannya. Pemikiran yang dikemukakan oleh Dato’ Onn mengenai isu ini dapat dirumuskan sebagai berikut:

      Pertama, mengikis atau mengurangkan semangat kesukuan di kalangan orang Melayu dan menekankan unsur keMelayuan.

      Kedua, mengurangkan semangat kenegerian.

      Ketiga, mengemukakan cadangan membentuk Persekutuan Negeri-Negeri Melayu atau Federation of Malay States dan menuntut Pulau Pinang dan Melaka ’dipulangkan balik kepada kita.’(U2)

      Keempat, ’... persatuan yang padu bukan saja persatuan antara raja dengan rakyat tetapi rakyat dengan raja. Saya suka menyebut bahawa rakyat jadi raja dan raja menjadi rakyat. Tujuannya supaya dapatlah pekerjaan dijalankan dengan bersatu. Saya percaya raja di Tanah Melayu ini tidak lagi akan membelakangkan rakyat seperti dahulu, tetapi hendaklah raja-raja itu ikhlas dan bertambah-tambah mengasihi rakyat.’ (U3) 

      Kelima , menerima golongan DKA dan DKK ke dalam keluarga besar Melayu. Dalam ucapan-uapannya yang menjadi korpus kajian ini tidak terdapat sebutan kepada isu ini. Tetapi secara individu, Dato Onn telah melaksanakannya. Misalnya, semasa menjadi Menteri Besar Johor terdapat kes apabila  beliau telah memberikan kemudahan perubatan kepada yang keturunan Arab sedangkan sebelumnya mereka tidak berhak menerimanya. Barangkali contoh yang lebih jelas; beliau telah mengemukakan nama Dato’ Syed Abdul Kadir bin Mohamed sebagai Menteri Besar Johor bertentangan dengan amalan diskriminasi yang diamalkan di negeri itu. 

Jika kita ingat dalam ucapan sulungnya, Dato’ Onn mengatakan tujuan Kongres Melayu pertama ialah untuk ’menciptakan tapak-tapak bangunan yang akan menghasilkan dan membuktikan cita-cita bangsa kita...,’ kini kita lihat tapak bangunan yang telah diciptakan itu cukap lebar serta kukuh dan boleh menampung cita-cita kebangsaan Melayu itu untuk beberapa waktu lamanya. Pada keseluruhannya dapatlah dikatakan retorik Dato’Onn sehingga pada peringkat ini bersifat bujukan, seruan dan desakan kepada pengikutnya dan serangan balas yang keras kepada kritikan yang dilemparkan kepadanya, terutama melalui media massa tempatan. Suaranya selalu tegas, berani dan optimis seperti katanya,’... masa akan tiba manakala segala pihak akan memandang kepada PEKEMBAR sebagai mewakili umat Melayu yang beratus-ratus ribu di mereta tempat dalam Semenanjung.’(U9) Dengan pelbagai cabaran yang dihadapinya, beliau menunjukkan kesabaran untuk menjelaskan sesuatu isu, walaupun kadang-kadang terdengar juga seolah-olah beliau berkuliah. Tidak dapat dinafikan beliau sering merasa perlu untuk mengidentifikasikan diri dengan khalayaknya seperti berkata, ’Saya tidak berniat hendak menayangkan (memegahkan) baka saya tetapi memadailah saya katakan bahawa keturunan saya dan asal usul saya memang darah Melayu.’(U6)  

Antara Melayu dengan Malayan

  

Perubahan Dato’ Onn dari segi sikap ’Melayu’nya mulai terlihat dalam ucapannya di Persidangan Agung UMNO di Arau, Perlis pada 28 Mei 1949. Suaranya sudah berubah – bukan suara Melayu ’tulen’ seperti sebelumnya sebaliknya lebih menekankan perkataan ’se-Malaya’ dan ’berbaik-baik dengan kaum lain yang sama berserta dan menumpahkan kesetiaan dalam negeri itu’. Nadanya kurang membujuk atau menyeru tetapi lebih merupakan mengajar dan boleh dikatakan agak memandang ke bawah kepada khlayaknya, misalnya menggunakan frasa, ’bukan secara kampung sahaja’. Almaklum pada waktu itu perkataan kampung membawa implikasi kuno, ketinggalan dan mundur. Pada hari ini barangkali perkataan itu sudah sedikit-sedikit dipulihkan seperti pada ’selera kampung’ dan ’nasi goreng kampung’. Perutusannya tidak lagi ’kita’ dan ’mereka’, melainkan melihat ke seluruh dunia secara global. Malahan beliau memberi pilihan yang bukan pilihan atau lebih tepat kata dua kepada orang Melayu untuk memperbaiki sikap terhadap kaum lain, ’...persahabatan atau perpecahan ada di dalam tangan wakil-wakil sekalian.’(U12)  

Sebelum inipun beliau seolah-olah sudah mulai hilang sabar atau bosan dengan telatah pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada orang Melayu seperti ternyata pada ucapan berikut dalam Majlis Mesyuarat Agung UMNO pada 23 April 1948 : 

    ’... melawan Malayan Union itu perkara kecil dan yang berat ialah melawan Melayu itu sendiri. Melawan Melayu itu ialah melawan perangai, tabiat dan kelakuan Melayu  sendiri iaitu tentang mengubah pembawaan Melayu sendiri. Sepuluh Malayan Union sepuluh boleh lepas, tabiat Melayu yang sebegitu dijauhkanlah hendaknya.’(U11) 

Apabila menyeru supaya berubah, beliau berkata: ’Janganlah degil dan janganlah keras hati kita.’ (U12) Melayu hendaklah berani menerima cabaran:

    ’... bahawa Melayu bukan berhati kecil, bukan kebimbangan atau ketakutan tetapi menunjukkan negeri-negeri Melayu adalah sedia menjadi penggalak, pemandu dan bukan penakut.’ (U12)  
     

Pada bulan Jun 1948 satu peristiwa penting telah berlaku di Tanah Melayu iaitu Parti Komunis melakukan pemberontakan bersenjata dan untuk melawan mereka kerajaan British berusaha mendapatkan kerjasama semua orang di negara ini lebih-lebih lagi kaum Cina yang anti komunis. British mahu mempengaruhi seramai mungkin orang Cina untuk menentang gerilya komunis yang telah masuk hutan itu. Maka itu mereka harus diberikan tempat di Tanah Melayu. British juga memerlukan kerjasama orang Melayu supaya membezakan Cina yang anti- dan pro- komunis bedebah ini. Onn kelihatannya menerima hujah British ini. Kerana itu beliau, atas cadangan pemimpin kolonial Inggeris, pada 31 Disember 1948 telah mengambil daya utama memanggil mesyuarat 21 pemimpin kaum di rumahnya. Pertemuan awal tak-formal ini telah disusul dengan pertemuan lain yang formal dan akhirnya tertubuhlah Jawatankuasa Hubungan Komuniti atau Communities Liaison Committee (CLC) pada 10 Januari 1949. 

Dengan itu Onn mulai tertonjol sebagi pemimpin semua kaum, bukan lagi sebagai pemimpin orang Melayu saja. Dalam ucapannya di Majlis Mesyuarat Agung UMNO di Balai Rong, Arau, Perlis pada 28 Mei 1949, Onn pertama kali membuka mulut mencadangkan ’diadakan taraf kebangsaan iaitu berlainan daripada taraf kerakyatan seperti tersyarat di dalam Persekutuan Tanah Melayu ini - ...’ Beliau selanjutnya mengatakan:

    ’...selagi tidak dapat rakayat dalam negeri ini yang mengaku menumpahkan taat setia dalam negeri ini saya percaya akan lambat masanya baharu terbayang – belum sampai bayangan akan kerajaan merdeka itu.’(U13)  

Pada peringkat inilah dalam perjuangannya Onn memikirkan untuk membuka UMNO kepada bukan Melayu. Menurut Ishak Tadin mulai Ogos 1949 Dato’ Onn telah mengemukakan cadangan membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tetapi tidak ada ahli UMNO yang lain yang memberikan perhatian kepada gagasan itu. (1960;78) Dan pada peringkat ini jugalah ’kerajaan merdeka’ itu dengan lebih tegas dinyatakan sebagai sasaran terdekat. Sebelum ini, misalnya dalam ucapannya di Majlis Mesyuarat Agung UMNO di Balai Besar Alor Star pada 10 Januari 1947, beliau tidaklah kelihatan begitu ghairah dengan kemerdekaan seperti katanya’... bercakap tentang kemerdekaan terlalu sahaja mudah tetapi kita hendak kemerdekaan itu apabila didapati kekal di tangan kita.’(U5) 

Ucapan Dato’ Onn dalam Majlis Mesyuarat Agung UMNO Tergempar di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 20 Mei 1950 merupakan kuliah panjang mengenai Undang-Undang Kerakyatan bagi Negeri-Negeri Melayu. Nada keguruannya amat ketara sementara ayatnya panjang-panjang. Di akhir ucapannya beliau menyerang balas kecaman pihak yang menentang usulnya itu, termasuk the Malay Graduates Association dengan suara yang keras dan nada agak sinis sebagai ’memperdayakan dirinya sendiri’ apabila berfikir:

    ’boleh didirikan sebuah kerajaan yang merdeka di dalam Persekutuan Tanah Melayu ini dengan adanya di dalam negeri kita ini puak-puak yang berpecah-pecahan, puak-puak yang sedia hendak berlaga-laga dan berlawan-lawanan di antara satu sama lain.’(U15)

Jelaslah bagi Dato’ Onn, jika mahu mengecap merdeka tiada pilihan lain bagi orang Melayu melainkan menerima kaum lain yang menunjukkan taat setia kepada negera ini sebagai rakyat dan sebagai ahli UMNO, jika mereka ini memilih untuk berbuat demikian.   

Cadangan Dato’ Onn mengenai kerakyatan telah mendapat tentangan hebat di kalangan ahli UMNO di peringkat akar umbi dan orang awam Melayu seperti tercermin dalam liputan media massa berbahasa Melayu pada masa itu. Onn sudah kelihatan letih, malahan bosan menerima serangan yang datangnya bertubi-tubi ini. Dalam ucapan di Majlis Mesyuarat Agung Khas UMNO di Hotel Majestic pada 10 Jun 1950, beliau menyatakan’

    ’...maka telah keluar dengan bermacam-macam cara sindirian-sindiran dan tuduhan-tuduhan yang tepat ditujukan kepada saya sebagai berkhianat kepada bangsa, berkhianat kepada negeri dan derhaka kepada bangsa.’(16)

 

Kali ini Onn kelihatan seolah-olah kehilangan sabarnya dengan tuduhan ini. Seperti biasa dalam keadaan demikian, beliau membangkitkan keturunannya. Katanya;

    ’Saya mempunyai darah Melayu, dari dikekalkan tuduhan-tuduhan itu terlebih baik saya tunjukkan kepada bangsa dan tanah air saya dengan mengundurkan diri dari UMNO. (U16) 

Di hujung ucapannya itu, beliau sekali lagi menawarkan diri untuk meletakkan jawatannya sebagai Yang dipertua UMNO dengan nada ancaman:

    ’Sekiranya saya telah diketahui ada di antara ahli-ahli UMNO dan orang Melayu itu tidak ada kepercayaan kepada saya maka terpaksa dan telah patutlah saya berhenti supaya dapat jawatan itu dipegang oleh orang yang lebih layak dan cekap untuk menjalankan kerja yang dikehendaki oleh orang Melayu.’(16) 
     

Ucapan Dato’ Onn pada Majlis Mesyuarat Agung Setengah Tahun UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 24 Mac 1951 adalah terpenting berkaitan dengan isu Melayu-Malaya ini. Di sini beliau ’membayangakan’ akan membawa cadangan untuk membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu. Ucapan ini kelihatannya telah dirancang dengan teliti tetapi tidak berjaya mencapai sasarannya bukan kerana retoriknya lemah atau maksudnya tidak jelas tetapi isunya terlalu sukar untuk menembusi benteng pemikiran sebahgian besar khalayaknya waktu itu.

Sebelum mengemukakan usul tersebut, beliau telah berusaha menjawab dengan terperinci satu isu lain yang telah berbangkit berkaitan dengan perlantikan Ahli (Member) untuk Pelajaran yang tidak disandang oleh orang Melayu. Sistem Ahli (sama dengansistem Jemaah Menteri dalam zaman merdeka) ini telah diperkenalkan oleh Kerajaan British masa itu dalam rangka memberikan penduduk Tanah Melayu pengalaman memerintah apabila nanti berkerajaan sendiri. Bagaimanapun, semua Ahlinya dilantik oleh pihak British, pastinya dengan rundingan dengan beberapa pihak. Dato’ Onn dilantik Ahli Hal Ehwal Dalam Negeri sementara Ahli Pelajaran dipegang oleh seorang bukan Melayu, iaitu Dato’ E. Thuraisingham. Ini mendapat kritikan hebat daripada sebahgian besar orang Melayu termasuk ahli UMNO. Dalam ucapannya pada 24 Mac 1951, Dato Onn cuba mempertahankan kedudukan yang amat sukar diterima oleh orang Melayu ini. Selamanya orang Melayu menganggap Pelajaran itu portfolio yang amat penting dan mesti disandang oleh orang Melayu.  

Dato Onn telah menangkis ini dengan hujah bercorak akademik: bahawa setiap Ahli itu tidak boleh membuat apa saja sesuka hatinya melainkan terdapat beberapa ’pagar’ sekatan yang mesti diatasi, iaitu

      Pertama, Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan Tanah Melayu           

      Kedua, Majlis Mesyuarat Persekutuan Tanah Melayu ’di mana ada berpuluh-puluh ahli daripada berbagai-bagai kaum’

      Ketiga, Majlis Mesyuarat Raja-raja

      Keempat Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri.

Onn telah mengukuhkan hujahnya dengan beberapa pertanyaan retorik berikut:

    Siapa berkata Pejabat Ekonomi atau Pejabat Hal Ehwal Iktisad di dalam Persekutuan Tanah Melayu ini tidak mustahak kepada orang Melayu?

    Siapa berkata, pejabat yang akan menjaga segala kaum dan segala trade union itu tidak mustahak kepada orang Melayu?

    Siapa berkata Pejabat Perkawalan itu tidak mustahak kepada orang Melayu?(U17) 

Dan seterusnya beliau menutup hujahnya dengan mengatakan lebih penting ialah memegang jawatan bercorak federal berbanding jawatan ’di bawah tadbir serta kekuasaan negeri-negeri Melayu.’ Retorik Onn boleh dikatakan rasional, terperinci dan amat bertenaga sedangkan isunya bagi sebahgian besar khalayaknya agak emosional. Apakah mungkin alasan lebih bercorak struktural seperti yang dikemukakan oleh Dato’ Onn itu meyakinkan khalayaknya yang pada masa itu sudah tidak lagi terlalu ’percaya’ kepadanya. Jika dilihat daripada perspektif masa kini pun orang Melayu tidak akan menerima orang bukan Melayu menjadi Menteri Pelajaran. 

Dari sudut retorik dapat dikatakan, Dato Onn telah membuat persiapan yang teliti dari awal ucapannya lagi sebelum sampai kepada isu terpenting dalam ucapannya pada hari itu, iaitu membuka UMNO kepada bukan Melayu. Beliau telah lebih dahulu menyebut tentang pilihan raya dalam berbagai peringkat: Jemaah Bandaran, dan Majlis Mesyuarat Negeri dan mengatakan, ’kalau kita tidak bersiap maka calon-calon UMNO akan kecewa,’ dan ’kita mesti mengambil langkah dengan kuat’. Ini semua sebagai persiapan menghadapi perubahan yang besar yang akan dikemukakannya. Dato Onn telah juga menyebutkan tentang penubuhan Lembaga Kemajuan dan Perusahaan Kampung atau RIDA (Rural and Industrial Development Authority),untuk semua orang kampung tidak kira kaum, ’Tetapi faedahnya tentulah akan lebih menumpah kepada orang Melayu sebabnya mereka itulah yang ramai duduk di dalam kampung-kampung itu.’   

Bagaimanapun, jawapan Dato’ Onn kepada isu Ahli Pelajaran pastilah telah menimbulkan keraguan terhadap ’keMelayuan’nya di kalangan khalayaknya dan telah mencalarkan imejnya sebagai pemimpin UMNO, sebuah pertubuhan politik Melayu. Barometer kepopularannya pastilah sudah menurun kepada peringkat yang terendah sehingga saat itu. Pastilah suasana dalam dewan bukan yang paling sesuai untuk membawa usul membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu. Sebennarnya Onn tidak bertujuan membukakan cadangan untuk perbincangan pada hari itu. Beliau bertujuan membincangkannya dalam mesyuarat khas yang akan dipanggil kemudian nanti. Pada saat itu beliau hanya memberikan notis untuk memanggil mesyuarat khas dan menyatakan perkara yang akan dibincangkan. Perhatikan retorik beliau berikut:

    Saya membayangkan pagi ini, saya sebutkan lagi ’saya membayangkan’ saya ulangkan sekali lagi, ’saya membayangkan’ kerana saya bimbang percakapan saya ini akan dikelirukan apabila keluar daripada majlis ini. Saya membayangkan iaitu dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Yang Dipertua UMNO menurut Fasal 13(2) dalam Undang-Undang Tubuh UMNO ini, bahawa saya akan menghimpunkan lagi sekali majlis mesyuarat ini supaya merundingkan satu cadangan yang telah mendapat persetujuan Jawatankuasa Kerja Agung, iaitu supaya dibukakan pintu UMNO ini kepada orang yang bukannya daripada bangsa Melayu dan supaya dipinda ’Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ dijadikan United Malaya. Saya ulangkan sekali lagi United Malaya bukannya Malayan. Saya ulangkan bukannya Malayan Organisation. Maka adalah dicadangkan sekiranya mendapat persetujuan supaya ditukar sebutan United Malays National Organisation itu dijadikan United Malaya National Organisation. Cadangan ini bukannya satu cadangan yang ganjil dan bukannya satu cadangan yang patut memeranjatkan ahli-ahli UMNO apa lagi wakil-wakil yang ada di dalam majlis ini.’(U17) 

Dato’ Onn menekankan bahawa penukaran nama UMNO itu daripada Melayu kepada Malaya bukan Malayan sedangkan kebanyakan ahli sejarah, saya lihat, menyebut perkataan Malayan saja. Tetapi apakah bezanyanya antara Malaya dengan Malayan dari sudut nuansa bahasa? Saya tidak berhasil membacanya dan telah bertanya kepada mereka yang lebih arif dengan bahasa Inggeris tetapi tidak juga mendapat jawapan yang memuaskan. Apabila Dato’ Onn mengulangi dua perkataan ini pastilah kepadanya ada perbezaan yang kritis. Apakah beliau menyangkakan perkataan Malaya itu lebih mudah diterima oleh ahli UMNO dan orang Melayu daripada perkataan Malayan? Jelas khalayaknya di kalangan perwakilan UMNO juga tidak dapat menangkap nuansanya. 

Sebenarnya, cadangan Dato’ Onn ini masih belum merupakan usul untuk diperbincangkan. Satu mesyuarat khas akan dipanggil khusus untuk membincangkannya dengan saksama. Bagaimanapun cadangannya itu telah ditentang dengan hebat sekali oleh sebahgian besar para perwakilan dan akibat yang tidak mereka jangka, dalam suasana yang hangat itu Dato’ Onn telah mengumumkan perletakan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO. Dan ini diikuti oleh semua ahli jawatankuasanya yang lebih dahulu telah menerima usul itu. Menurut Ishak Tadin (1960;76) UMNO menjadi badan tanpa pemimpin untuk beberapa ketika sehingga apabila Setiausaha Agungnya menarik balik perletakan jawatannya. Barangkali ini kekalahan  pertama buat Dato’ Onn dalam sejarah persidangan agung UMNO. Beberapa serangan bercorak peribadi tidak dapat diterimanya. Maka itu reaksi spontannya meletakkan jawatan dapat difahami.     

Seperti telah dirakamkan dalam sejarah, selepas persidangan ini perwakilan dari semua negeri telah mengadakan perarakan ke rumah Dato’Onn dengan tujuan memujuk beliau supaya kembali ke pangkuan UMNO. Pada 27 Ogos 1950 beliau kembali menjadi Yang Dipertua UMNO. Bagaimanapun beliau tidak berganjak daripada pendirian untuk membawa bukan Melayu menjadi ahli penuh UMNO. Dan ini membawa kepada perletakan jawatannya buat kali kedua dan terakhir sebagai pemimpin tertinggi UMNO.    

Barangkali kesan retorik keMelayuannya sebelum ini telah terpahat terlalu mantap dalam sanubari pengikutnya sehingga Onn sendiri gagal merungkainya. Pastilah para pengikutnya merasakan ia telah membuat suatu tikungan yang tajam, berputar 180 darjat sehingga mereka tidak lagi dapat mengikutinya. Bagi pihak Onn pula waktu tidak menyebelahinya kerana beberapa pilihan raya Majlis Bandaran akan berlaku tidak lama lagi. Hakikat bahawa cadangan itu mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli Jawatankuasa Kerja Agung UMNO juga tidak membantunya. Barangkali kenyataan bahawa UMNO seolah-olah dalam kebingungan, tanpa calon pengganti yang nyata, apabila beliau pertama kali beliau meletakkan jawatan dulu menjadikan beliau sedikit over-confident. Pada waktu itu di antara yang memujuk beliau supaya kembali ke pangkuan UMNO ialah Sardon Hj. Zubir (Tun Sardon), orang yang paling keras menentangnya. Kepercayaan Onn berdasarkan hubungan rapatnya dengan pegawai kolonial Inggeris waktu itu bahawa British tidak akan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dalam keadaan komunis sedang mengganas di hutan belantara negeri ini sementara orang Cina yang di luar tidak menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negera ini. 

’Raja Jadi Rakyat, Rakyat Jadi Raja’  

Walaupun Onn dibesarkan di Istana Johor sebagai anak angkat Sultan Ibrahim, hubungannya dengan Sultan tidak selalu selesa. Seperti telah disebutkan sebelum ini beliau dua kali menimbulkan kemurkaan Sultan Ibrahim sehingga dibuang negeri. Bagaimanapun, hubungan itu berhasil dipulihkan dan Onn menjadi pembela kuat Sultan Ibrahim apabila kumpulan ’Orang Tujuh’ dan pengikut mereka hendak menggulingkan Baginda dan menggantikannya dengan seorang ahli keluarganya yang lain apabila Sultan Ibrahim menurunkan tanda tangan kepada dokumen yang disodorkan oleh MacMicahel kepadanya tanpa berunding lebih dahulu dengan penasihatnya. Sejak itu hubungan Onn  dengan Sultan Ibrahim boleh dikatakan sangat mesra. Bagaimanapun, hubungannya dengan raja-raja Melayu yang lain tidaklah boleh diperikan sebagai mesra. Malahan berdasarkan retoriknya boleh dikatakan Onn tidaklah begitu menghormati raja-raja yang lain itu.   

Sekurang-kurangnya dalam tiga ucapan beliau dalam persidangan UMNO iaitu U3, U8 dan U13, status Raja Melayu dan peranan mereka sebagai lambang keMelayuan dibangkitkan oleh Dato’ Onn.Tajuk kecil di atas diambil daripada ucapan Dato’ Onn dalam Kongres Melayu ketiga (U3) pada 11 Mei 1946. Dalam ucapan itu beliau menekankan persatuan antara raja dengan rakyat dan antara rakyat dengan raja. Beliau telah mengingatkan para raja supaya ’tidak membelakangkan rakyat seperti dahulu’. Hakikat sejarahnya tidak dapat dinafikan tetapi retorik seperti ini pastilah tidak menyenangkan pihak raja dan sebahgian orang Melayu sendiri. Ucapannya pada  

Majlis Mesyuarat Agung UMNO pada 2 September 1947 pastilah lebih mengusik perasaan pihak raja Melayu. Beliau telah mencetuskan slogan ’Raja itu rakyat rakyat itu Raja.’ Beliau telah mengingatkan para Sultan:

    ’...rakyat jelata Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini telah mengangkat dan meletakkan balik raja-raja itu ke atas takhta kerajaan baginda-baginda itu dengan jasa yang tidak menumpahkan darah walau setitik pun.’(U8)

     

 Ucapan Dato’ Onn di Majlis Mesyuarat Agung UMNO pada 27 Ogos 1949, mengandungi serangan secara terbuka dan terus terang terhadap Raja-raja Melayu.  Beliau telah membangkitkan peristiwa sejarah bagaimana Raja-raja dengan mudah menyerahkan takhta kepada MacMichael. Perhatikan retoriknya:

    Dengan mengetahui begitu adanya rakyat-rakyat Melayu itu membantah serta melawan atas kecerobohan British itu maka setengah daripada Raja-raja Melayu itu menyesal baharulah terkeluar bantahannya yang tidak kuat bunyinya. (U13) 

    Dengan larangan keras dari UMNO maka tidak ada seorang pun Raja-raja itu berangkat menyaksikan penyerahan kuasa itu.(U13)

     

    Saya bukan hendak mencela Raja-raja kita. Sayalah yang kuat mengangkat balik Raja-raja itu ke atas takhta kerajaannya. Tetapi sungguhpun saya membuat demikian saya tidak dapat balas dan kenangan daripada raja-raja itu. (U13)  

    ... jika tidak dinasihatkan Raja-raja itu takut kalau-kalau berlaku seperti yang telah berlaku antara Raja-raja dengan MacMichael. (U13) 

    Saya akan tentang Raja pun jika perkara-perkara yang dijalankan olehnya itu mendatangkan cacat kepada umat Melayu. (U13) 

    Negeri ini bukan hak Raja-raja Melayu tetapi ialah hak penduduk negeri ini. (U13) 

    ...hendaklah kita berfikir dengan halusnya apakah perubahan yang patut supaya kuasa-kuasa bernafsu-nafsi itu akan terhapus supaya digantikan dengan kuasa perwakilan dan suara rakyat jelata. (U13) 

    ’Kerana dibimbangkan jika tidak dinasihatkan raja-raja itu takut kalau-kalau berlaku seperti yang telah berlaku antara raja-raja dengan MacMichael.’(U13) 

Selanjutnya ucapan ini membangkitkan isu perlantikan seorang Melayu sebagai Timbalan Pesurujaya Tinggi Tanah Melayu. Jawatan ini dicadangkan oleh Dato’ Onn dan telah dipersetujui oleh kerajaan British tetapi oleh kerana dua orang Sultan menentangnya pada hal majoriti Sultan menyetujuinya, cadangan ini tidak dapat dilaksanakan. Dalam ucapannya (U13) Onn telah mendedahkan apa yang berlaku dalam Persidangan Raja-raja:

    ’Akhirnya semuanya bersetuju kecuali Sultan Kedah dan Yang Dipertuan Negeri Sembilan dengan alasan ”Bagaimana rakyat Raja lebih besar

    Daripada raja”’. 

Suatu lain yang diputuskan dalam Persidangan Raja-raja dan meniumbukkan kemarahan Onn ialah sekatan kepada pegawai kerajaan mengambil bahagian yang cergas dalam politik. Almaklum pada waktu itu, pegawai kerajaanlah golongan cerdik pandai Melayu dan menjadi tulang belakang UMNO. Keputusan itu akan melemmahkan UMNO di terutama di peringkat pusat dan bahagian. Kedudukan Dato’ Onn sendiri juga akan terjejas kerana pada waktu itu beliau Menteri Besar Johor. Beliau mengharapkan simpati daripada Sultan Ibrahim tetapi malang bagi beliau Baginda akhirnya menyebelahi rakan-rakannya dan memberikan kata dua kepada Onn; pilih jawatan Menteri Besar atau Yang Dipertua UMNO. Onn telah UMNO walaupun ini suatu pengorbanan besar dari segi kedudukan dan pendapatan. 

Ong Siew Im (1998;257-8) telah menyebut ’Dato’Onn was a republican through and through.’ Kutipan ucapan beliau di atas membuktikan kebenaran kenyataan ini. Bagaimanapun, menurut Ishak Tadin (1960;74) pertelagahan di antara Dato’ Onn dengan Raja-raja Melayu dalam isu jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinngi Persekutuan sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Dato’ Onn sebagai pemimpin UMNO. Persidangan Agung UMNO di Butterworth pada 27 Ogos 1949 itu dengan sebulat suara berdiri di belakang Dato Onn dalam isu tersebut. Menurut Ishak Tadin lagi, peristiwa ini juga menandakan pertelagahan kali pertama antara Umno denga Raja-raja. Sebelum ini Raja-raja telah memberikan sokongan yang padu kepada UMNO.   

Mendapat sokongan sebulat suara dari UMNO (Ishak Tadin) 
 

Mulai menekankan kebangsaan tidak lagi Melayu ’...satu-satu pertubuhan kebangsaan itu hanyalah dapat berdiri dengan sifat kebangsaan dan dibantu oleh umat bangsa itu.’ 160 
 

KESIMPULAN

-gagal mencapai cita-citanya tetapi gagasannya banyak diterima spt RIDA

-menerima KBE daripada Inggeris terlalu awal

-membuat tikungan yang tajam lebih dari sekali: membuka UMNO kepada semua kaum dan menubuhkan parti Negara utk memperjuangkan Melayu

-IMP gagasan Inggeris. Menurut Anwar sokongan Inggeris secara terbuka. Arrogance and over-confidence

- Pembrontakan komunis mengubah senario politik Malaysia. Inggeris perlu memecah-belahkan Cina kepada komunis dan bukan-komunis. Bukan komunis mestilah diberikan tempat dan kedudukan dalam negara dan kerajaan Malaysia merdeka

- Walaupun jangka masanya pendek tetapi sebenarnya Onn telah merancangkan gerakannya dengan teliti dan langkah dmi langkah: Bukan Melayu sebagai ahli bersekutu, meminda perlembagaan mengenai kelayakan kerakyatan. Gagal membuka UMNO kpd bukan Melayu.

- Telah membuka terlalu banyak medan pertarungan pada suatu waktu:

      - ahli-ahli akar umbi UMNO

      - pegawai-pegawai bawahan Inggeris

      - Sultan-sultan

-Kemudian sebagai pemimpin IMP perbalahan dengan Cheng Lok 
 
 
 
 

LAMPIRAN 1:

PERISTIWA SEJARAH YANG PENTING BERKAITAN DENGAN KEHIDUPAN DAN PERJUANGAN DATO’ SIR ONN BIN JAAFAR

1895: Lahir di Johor Bahru

1903: Pendidikan awal di Aldeburgh Lodge School, Suffolk, England

1910: Pendidikan menengah di Maktab Melayu, Kuala Kangsar

1911: Mulai berkhidmat dengan kerajaan Johor

1917: Menyertai Pasukan Askar Timbalan setia Johor/ Johore Miltary Forces (JMF)

1918: Dinaikkan pangkat ke Leftenan Muda

1920: (Feb.) Diberhentikan perkhidmatan dengan kerajaan Johor dan berpindah ke  

          Singapura

1922: Diterima berkhidmat semula dengan kerajaan Johor

1926: Dilantik Penolong Pemungut Hasil Tanah

1927: Dibuang negeri dan tinggal di Singapura sekali lagi

1929: Melancarkan tulisan dalam Sunday Mirror

1930-33: Bekerja sebagai pengarang Warta Malaya danWarta Ahad milik Syed Hussein   

                Syed Hussien al-Sagoff

1934-35: Pengarang Lembaga Malaya, milik Syed Alwi al-Hadi dan akhbarnya sendiri,  

                Lembaga                                                                                                                                                                                            

1935: (15 September) Menerbitkan buku Selamat Johor

1936-45: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor

1938: (1 Jun) Berkhidmat sebagai S/U peribadi Tengku Mahkota Johor 

1939: Mengetuai rombongan Johor dalam Pamiran Perdagangan di San Francisco

1940: Menerima anugerah DPMJ

1941: (Disember) Jepun mara ke Tanah Melayu

1941-45: Dilantik sebagai Pegawai Penguasa Makanan Negeri Johor

1942: Bersama penduduk Johor Bahru mengungsi di Hutan Kempas

1945: Inggeris bertapak semula di Tanah Melayu

1945-46: Berkhidmat sebagai Pegawai Daerah, Batu Pahat

1946: (Jan. 3) Menubuhkan Kesatuan Melayu Semennanjung Johor (KMSJ) di

          Batu Pahat

1946: (1-4 Mac) Kongres Melayu SeMalaya di Kelab Sultan Sulaiman, KL Onn dilantik       

          Pengerusi

          (1 April) Malayan Union dilaksanakan

          (11 Mei) Penubuhan UMNO di Johor Bahru; Onn dilantik Yang Dipertua

          (22 Mei) Pertabalan Gov.-General, Malayan Union 

          (1 Oktober) Onn dilantik Menteri Besar Johor

1947: (2 Sept.)  Onn mencadangkan struktur baru UMNO: keahlian secra individu

          (Dis.) Menerima bintang DK kelas 2

1948: (1Feb.) Lahirnya Persekutuan Tanah Melayu

           (Jun) Pemberontakan Komunis Malaya        

           (Okt.)  Onn pergi ke London membincangkan jawatan Timbalan Pesuruhjaya       

           Tinggi dikhaskan kepada orang Melayu

          (31 Dis.) Onn mengambil daya utama berunding dengan pemimpin kaum lain

1949: (Jan. 10) CLC (Communities Liaison Committee) ditubuhkan

          (23 Mei)  UMNO bersetuju cadangan Onn menerima bukan Melayu ahli bersekutu

          (15 Jun) Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi ditolak Persidangan Raja-Raja dan                       

          Onn diberi katadua oleh Sultan Johor supaya meletakkan jawatan sama ada sebagai

          MB Johor atau Yang Dipertua UMNO. Onn memilih menjadi pimimpin UMNO 

          (27 Ogos) UMNO mengundi menyokong kepimpinan Onn dalam isu                                  

          Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan

          (Sept.)  CLC ditubuhkan secara rasmi

          (16 Okt.) Onn mengadakan rapat umum di Batu Pahat. Isunya bekerjasama dgn                 

          kaum lain

1950: Laporan CLC diterbitkan

           (1 Feb.) Onn meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor

           (20 Mei) Mesyuarat Tergempar UMNO menolak Laporan CLC khususnya  

           melibatkan pindaan perlembagaan mengenai kerakyatan; akibatnya

           Onn meletak jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO.

           (28 Julai) Rapat umum diadakan di Johor Bahru meminta Onn kembali ke  

           pangkuan UMNO

           (27 Ogos) Onn kembali memimpin UMNO; pindaan perlembagaan Persekutuan

           diluluskan.

           Onn dilantik Pengerusi RIDA (Rural and Industrial Development Authority)

            Kemudian menjadi MARA

1951: (5 Januari) J/K Pusat UMNO bersetuju cadangan Onn meminda perlembagaan      

           UMNO membenarkan kemasukan ahli bukan Melayu

           (24 Mac ) Dalam majlis mesyuarat setengah tahunan UMNO, Onn mencadangkan                                  

           membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu tetapi ditolak

           (24 Jun) Onn secara rasmi meletakkan jawatan Yang Dipertua UMNO sekali lagi  

           dan terus meninggalkan parti itu

           (25 Ogos) Onn membuat ucapan terakhir sebagai Yang Dipertua UMNO              

           Dan Onn dilantik Ahli (Menteri) Hal Ehwal Dalam Negeri

         (27 Ogos) Onn meninggalkan UMNO

           (16 Sept.) melancarkan dan memimpin IMP (Independence of Malaya Party)

1952: Pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur

          Pilihanraya pertama kerajaan tempatan Kuala Lumpur. Kekalahan teruk IMP,       

          Permulaan dan kemenangan Perikatan UMNO-MCA

1953: Menerima bintang Knight of the British Empire (KBE) membawa gelaran Sir

1954: Penubuhan Parti Negara menggantikan IMP dan Onn menjadi ketuanya

1955: Menyertai pilihanraya Persekutuan kawasan JB; Onn calon Parti Negara kalah  

          kepada Dato’ Sulaiman bin Abdul Rahman, calon Perikatan

1956: Onn, calon Parti Negara dikalahkan oleh Syed Esa calon Perikatan dalam   

           Pilihanraya kecil di Batu Pahat

1956-58: Menerbitkan dan menjadi pengarang majalah Kritik

1959: Memenangi pilihanraya Persekutuan kawsan Kuala Terengganu

1962: (9 Januari) Meninggal dunia di Johor Bahru  

LAMPIRAN 2:

SENARAI UCAPAN DATO’ ONN BIN JAAFAR

Kepada Kongres Melayu:

  1. 1 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur
  2. 30 Mac 1946 di Pejabat Majlis, Kuala Lumpur
  3. 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru

Kepada Persidangan Agung PEKEMBAR/UMNO

  1. 27 Julai 1946 di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang
  2. 10 Januari 1947 di Balai Besar, Alor Star, Kedah
  3. 1 Mac 1947 di Kelab Seremban, Negeri Sembilan
  4. 11 Mei 1947 di Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan
  5. 2 September 1947 di Istana Besar, Johor Bahru, Johor
  6. 26 Disember 1947 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur
  7. 24 Januari 1948 di Istana Besar, Johor Bahru, Johor
  8. 23 Apri 1948 di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang
  9. 28 Mei 1949 di Balai Rong, Arau, Perlis
  10. 27 Ogos 1949 di Butterworth, Pulau Pinang
  11. 24Januari 1950 di Bandar Maharani, Muar, Johor
  12. 20 Mei 1950 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur
  13. 10 Jun 1950 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur
  14. 24 Mac 1951 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur
  15. 25 Ogos 1951 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur
  •  
    •  
      •  
        •  
          •  
            •  
              •  

                        

Comments (0)
Write comment
Your Contact Details:
Comment:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img]   
:D:angry::angry-red::evil::idea::love::x:no-comments::ooo::pirate::?::(
:sleep::););)):0
Security
Please input the anti-spam code that you can read in the image.

Terakhir dikemaskini (Ahad, 01 November 2009 23:25)

 
Statistik Laman


counter

Profile

Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengarah Institut Peradaban Melayu, 01 November sehingga kini

Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Pengarah (1 April 2011-30 Oktober 2011) & Penyandang Kursi Za'ba, (01 April 2011 sehingga kini)

Dr. Hj. Idris Radzi, Pengarah, 16 Jun 2010 - 31 Mac 2011

abdullah

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, 1 Julai 2008 - 30 April 2010.

kursi

Prof. Dr. Adnan Nawang, Penyandang Ketiga Kursi Za'ba.

Pengarah Ke-2

Prof. Datuk Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Pengarah & Penyandang Kedua Kursi Za'ba, Mac 2006 - Februari 2008.

asmah

Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar, Pengarah & Penyandang Pertama Kursi Za'ba, Disember 2001 - Ogos 2005.