Joomla TemplatesBest Web HostingBest Joomla Hosting

6. Asas-Asas Perpaduan Kebangsaan

Daripada Dilema Melayu, oleh Mahathir Bin Mohamad (1970), diterjemahkan oleh Dr. Ibrahim Saad. Versi ini dimuat turun daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Dilema_Melayu"

Perpaduan negara, seperti istilah-istilah politik lain, lazimnya mempunyai tafsiran yang berbeza-beza. Seperti keadilan, konsep ini adalah sesuatu yang universal. Pentafsirannya tidaklah boleh mengikut kehendak khusus satu golongan masyarakat sahaja. Sebaliknya ia mestilah merangkumi nilai-nilai tertentu yang mempunyai unsur-unsur persamaan dalam kalangan berbagai bagai golongan, walaupun bukan persamaan yang mutlak.


Kini terdapat sebuah Jabatan Perpaduan Negara. Ini adalah satu tanda yang menunjukkan bahawa perpaduan kebangsaan itu diiktiraf bukan sahaja oleh Majlis Gerakan Negara malahan juga oleh orang-orang yang berfikiran wajar.

Secara mudah, asas perpaduan kaum adalah satu kumpulan etnik yang mengamalkan bahasa, kebudayaan dan agama yang sama serta tinggal dalam satu kawasan yang bersempadankan keadaan alam tertentu. Jikalau semua faktor ini wujud, sudah pasti lahirlah sebuah negara dalam erti katanya di zaman dahulu.

Pada masa dahulu kemudahan perhubungan dan perjalanan sangat terhad, apa yang disebut bangsa itu hanyalah merupakan lanjutan rangkaian suku kaum. Rangkaian suku kaum ini pula adalah lanjutan rangkaian keluarga. Faktor yang mengehadkannya adalah sempadan alam, sama ada jarak, gunung-ganang, laut ataupun sungai. Dalam kawasan yang tertentu itu suku-suku ini bersatu semasa aman atau perang melalui perkembangan satu bahasa, kebudayaan dan agama yang sama, lalu berpadu menjadi sebuah negara.

Rasa kesetiaan dan perpaduan dalam sesuatu negara timbul oleh kerana kebolehan untuk memahami satu bahasa, kebudayaan dan agama yang sama. Apabila lain-lain kumpulan kaum yang berlainan kebudayaan dan sebagainya bertembung maka timbullah pertikaian kerana ketiadaan rasa saling mengerti. Dalam pertempuran bersenjata perasaan kekeluargaan yang lebih kuat dalam setiap kumpulan akan menimbulkan rasa perpaduan kebangsaan yang lebih kuat.

Dalam zaman moden ini Amerika Syarikat telah menjadi satu contoh pembinaan bangsa. Apabila tiga belas jajahan di Amerika itu mencapai kemerdekaannya mereka membuktikan bahawa raja-raja tidaklah penting dalam menyatupadukan rakyat. Selepas merdeka, penduduk-penduduk dari keturunan Anglo-Saxon mula menerima pendatang-pendatang dari berbagai keturunan etnik dan bangsa yang berbeza dari segi agama, kebudayaan dan bahasa. Soalnya adalah sama ada penerimaan dan penggunaan, dan bukannya pewarisan satu bahasa dan kebudayaan yang sama, yang dapat mewujudkan kesetiaan terhadap sesebuah negara yang absah, iaitu negara yang dilahirkan melalui undang-undang. Amerika Syarikat adalah sebuah negara absah dan bukan negara semulajadi yang mana pemisah alam tabii menjadi sempadannya.

Amerika Syarikat menghadapi cabaran yang hebat dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20 dengan kebanjiran pendatang-pendatang baru ke sana. Pendatang-pendatang barn ini terdiri dari berbagai kaum termasuk orang-orang Cina dan Rusia. Boleh dikatakan bahawa mereka terdiri dari hampir ke semua kumpulan bahasa dan etnik. Pengetahuan mereka tentang bahasa Inggeris, iaitu bahasa rasmi, adalah cetek dan malah kadang-kadang tiada langsung. Apatah lagi pengetahuan mengenai kebudayaan dan latar belakang sejarah Amerika Syarikat. Agama mereka juga berbeza. Dari pelbagai latar belakang manusia ini perpaduan kebangsaan dibina terutama sekali berdasarkan kepada bahasa. Tiga belas jajahan yang asal itu diduduki oleh orang-orang yang bertutur Bahasa Inggeris dan keturunan mereka inilah yang menjadi teras negara tersebut. Di sinilah satu prinsip penting ditetapkan dan diikuti, iaitu pendatang-pendatang yang ingin menjadi rakyat Amerika Syarikat wajib mempelajari Bahasa Inggeris, iaitu bahasa rasmi serta penerimaan mereka mestilah sepenuhnya dan ia mestilah bahasa yang digunakan dalam pertuturan harian. Tidak timbul persoalan bagi rakyat mengaku, `Kami menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat' dan kemudian tidak menghiraukannya.

Dalam pada itu Pula tidak terdengar langsung cadangan-cadangan supaya bahasa-bahasa kaum pendatang itu diletakkan sama taraf dengan bahasa Inggeris, dan secara rasmi bahasa-bahasa tersebut tidak diambil kira sama sekali. Malahan ia menjadi syarat kerakyatan, yang dimaksudkan dengan kesetiaan kepada perlembagaan, bahawa rakyat baru yang bukan berasal dari rumpun Anglo-Saxon tidak berhak untuk menuntut persamaan taraf bahasa-bahasa lain dengan kedudukan Bahasa Inggeris. Perkara ini difahami dengan begitu jelas sekali hingga, walaupun di daerah-daerah tertentu terdapat kumpulan besar orang-orang bukan Anglo-Saxon, mereka tidak mengambil sebarang langkah untuk mengekalkan bahasa ibunda mereka. Dalam kebanyakan hal, bahasa ibunda mereka lenyap selepas satu generasi.

Setelah mewujudkan satu masyarakat yang bertutur bahasa yang sama, satu kebudayaan kebangsaan pula dibiarkan berkembang secara bebas. Tetapi oleh kerana bahasa dan kebuda yaan adalah terjalin rapi, ibarat isi dengan kuku, hasilnya timbullah satu kebudayaan yang pada asasnya adalah Anglo-Saxon, namun agak istimewa kerana ianya menerima pengaruh pengaruh bukan British yang telah diubahsuai. Dengan demikian, tanpa persamaan keturunan etnik, tanpa persamaan agama dan tanpa batas alam semulajadi, akhirnya tercapai juga perpaduan kebangsaan itu. Memang benar bahawa beberapa langkah telah diambil untuk mengawalnya. Sistem pelajaran hampir kesemuanya adalah berbahasa pengantar Inggeris. Sejarah yang diajar adalah terhad kepada sejarah Amerika dan asal-usul negara Amerika sebagai jajahan British lebih diutamakan daripada latar belakang sejarah pendatang-pendatang yang terkemudian. Bagi mewujudkan kesetiaan kepada negara yang tidak mempunyai raja serta sempadan-sempadan alam semulajadi, maka hormat kepada perlembagaan, bendera dan lain-lain simbol kenegaraan telah diajarkan di sekolah dan di mana sahaja rakyat berkumpul.

Dugaan muktamad terhadap perpaduan kebangsaan timbul dalam masa kedua-dua perang dunia yang melibatkan Amerika Syarikat. Tidak dapat dielakkan bahawa ada orang-orang Amerika yang terpaksa berperang dengan orang-orang yang sama kumpulan etniknya dengan nenek moyang mereka. Mung kinkah kesetiaan mereka kepada Amerika begitu kuat hinggakan mereka sanggup berperang dan membunuh orang-orang yang dahulunya ialah setanah air dengan mereka? Jawapannya jelas sekali apabila General Eisenhower yang berdarah German memimpin Amerika Syarikat dan Pihak Berikat ke arah kemenangan.

 

Percubaan dan pengalaman Amerika dalam pembinaan bangsa telah diulang dengan jayanya oleh negara-negara Amerika Latin dan Australia. Seperti juga di Amerika Syarikat, orang-orang dari berbagai kaum telah berhijrah masuk ke negara-negara ini lalu menerima bahasa yang sedia digunakan di tempat itu Berta belajar menghormati simbol-simbol kenegaraan dan menjadi rakyat yang bersatu, dikenali dan diiktiraf di kalangan antarabangsa. Bahasa nampaknya adalah kunci perpaduan kebangsaan. Ia membuka pintu ke arah satu kebudayaan asas, dan melalui satu sistem pelajaran kebangsaan, ia juga membawa ke arah lain-lain simbol perpaduan yang penting seperti perlembagaan, bendera, lagu kebangsaan dan undang undang negara.

Keutamaan yang diberikan kepada bahasa sebagai alat perpaduan tentunya menimbulkan cabaran di mana Switzerland telah membuktikan bahawa satu bahasa kebangsaan tidak perlu bagi perpaduan kebangsaan. Mereka yang mengambil Switzerland sebagai contoh telah mengenepikan beberapa perkara yang unggul mengenai orang-orang Swiss dan negara Switzerland. Switzerland bersatu tidak semata-mata kerana perpaduan dalam negeri malahan lebih kerana kuasa-kuasa luar, iaitu negara negara di sekelilingnya yang menganggap Switzerland sebagai negara penampan, satu jalan keluar dan tempat berkecuali semasa sebarang pertikaian. Switzerland hanya mempunyai satu peranan, iaitu berkecuali. Pergolakan politik kuasa dan perang bukanlah untuk negara tersebut.

Kekayaan Switzerland letaknya pada kemahiran rakyatnya dan ketenangan suasana politik yang dapat menarik pelancong pelancung. Semakin kurangnya pengaruh politik, maka semakin majulah perusahaan-perusahaan begini. Dengan ini, oleh kerana sebab-sebab luar dan juga kepentingan dalam negeri, orang-orang Swiss tidak suka pada politik. Dalam pilihanraya umum yang lalu tidak ramai yang bertanding atau mengundi dan kerajaan yang sama telah terus berkuasa semata-mata kerana tiada siapa yang berminat dengan politik. Dalam suasana begini bahasa tidak akan menjadi satu isu politik. Ia tidak dapat menyatukan atau memecah-belahkan rakyat.

Satu lagi perkara yang istimewa ialah orang Swiss mem punyai empat bahasa rasmi. Bahasa Romansch adalah digunakan oleh satu komuniti yang kecil (satu pertiga penduduk penduduk wilayah Graubauden). Oleh itu dapat dianggap hanya ada tiga bahasa rasmi, iaitu Perancis, Itali dan German. Boleh dikatakan setiap rakyat Swiss bercakap sekurang-kurangnya dua dari tiga bahasa rasmi tadi. Dengan itu bermaknalah tidak akan timbul keadaan di mana seorang Swiss tidak dapat memahami seorang Swiss yang lain. Lagipun, bahasa Perancis dan Itali adalah dari rumpun bahasa yang sama. Oleh itu mudah sekali bagi sesuatu kumpulan untuk belajar bahasa kumpulan yang satu lagi.

Akhir sekali orang Swiss adalah semuanya orang Eropah. Orang yang bercakap Perancis dan Itali adalah keturunan Latin dan orang-orang yang bercakap German adalah berketurunan Teutonik. Oleh kerana semua kumpulan ini adalah berkebu dayaan Eropah yang hampir-hampir serupa maka tidaklah menjadi masalah bagi mereka untuk bercampur-gaul di Switzerland. Dalam keadaan yang begini bahasa menjadi satu faktor yang tidak penting dalam perpaduan kebangsaan. Terdapat berbagai persamaan lain dan terdapat banyak kuasa dalam dan luar yang memupuk ke arah perpaduan. Oleh itu adanya empat bahasa sebagai bahasa rasmi tidak mempunyai makna dalam hal ini.

Berbalik semula kepada apa yang telah dibincangkan, bolehlah kita katakan bahawa asalnya asas perpaduan kebangsaan adalah sebuah kawasan yang terhad yang penghuninya terdiri daripada orang-orang yang sama bangsa, kebudayaan, bahasa dan agama. Aliran sejarah moden menunjukkan bahawa bangsa dan agama tidaklah begitu penting. Bahasa dan kebu dayaan yang berkait rapat dengannya tetap menjadi faktor yang penting dalam memupuk perpaduan kebangsaan. Oleh itu dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, perpaduan dapat dicapai sekiranya terdapat persetujuan tentang pemilihan bahasa dan kebudayaan yang berkaitan dengannya. Sekiranya bahasa yang dipilih itu diterima, sebuah negara ber bilang kaum itu boleh membentuk perpaduan kebangsaan dengan menggunakan cara-cara tambahan, umpamanya menonjolkan tumpuan kesetiaan seperti raja, pengajaran sejarah kebangsaan, penghormatan kepada simbol-simbol kebangsaan dalam bentuk bendera, lagu kebangsaan, lambang-lambang kebangsaan dan sebagainya, dan akhir sekali ialah keluhuran perlembagaan dan undang-undang negara. Sepanjang masa ini rakyat mestilah benar-benar bercampur gaul. Setiap rintangan dari segi bangsa, etnik atau keturunan mestilah dihapuskan.

Diskriminasi dalam semua lapisan hidup dihentikan dan akhirnya kahwin campur hendaklah digalakkan. Ini adalah asas perpaduan kaum dan fahaman terhadapnya adalah sine qua non atau syarat mutlak kepada sesebuah masyarakat berbilang kaum yang mempunyai hasrat untuk membina sebuah negara yang kukuh dan berjaya.

Comments (0)
Write comment
Your Contact Details:
Comment:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img]   
:D:angry::angry-red::evil::idea::love::x:no-comments::ooo::pirate::?::(
:sleep::););)):0
Security
Please input the anti-spam code that you can read in the image.

Terakhir dikemaskini (Ahad, 01 November 2009 14:21)

 
Statistik Laman


counter

Profile

Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengarah Institut Peradaban Melayu, 01 November sehingga kini

Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Pengarah (1 April 2011-30 Oktober 2011) & Penyandang Kursi Za'ba, (01 April 2011 sehingga kini)

Dr. Hj. Idris Radzi, Pengarah, 16 Jun 2010 - 31 Mac 2011

abdullah

Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, 1 Julai 2008 - 30 April 2010.

kursi

Prof. Dr. Adnan Nawang, Penyandang Ketiga Kursi Za'ba.

Pengarah Ke-2

Prof. Datuk Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Pengarah & Penyandang Kedua Kursi Za'ba, Mac 2006 - Februari 2008.

asmah

Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar, Pengarah & Penyandang Pertama Kursi Za'ba, Disember 2001 - Ogos 2005.